LELAKI China dan wanita melakukan persembahan tarian di satu majlis sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia di stadium Sarang Burung di Beijing, semalam.
LELAKI China dan wanita melakukan persembahan tarian di satu majlis sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia di stadium Sarang Burung di Beijing, semalam.

Beijing: Pihak berkuasa Beijing hari ini mula menguatkuasakan larangan merokok di dalam restoran, pejabat dan pengangkutan awam.

Larangan itu disambut baik penyokong anti-tembakau, tetapi bagaimana larangan itu dikuatkuasakan masih belum diketahui.

Aktivis kesihatan sudah beberapa tahun mendesak supaya larangan lebih ketat dikenakan kepada perokok di China yang juga pengguna tembakau terbesar di dunia.

Beijing sebelum ini sudah mengambil beberapa langkah tegas dan mempertimbang untuk meluaskan larangan merokok di seluruh negara.

Di bawah peraturan itu, sesiapa yang melanggar larangan termasuk menghisap rokok berhampiran sekolah dan hospital akan didenda sebanyak 200 yuan (RM120).

Kadar denda sebelum ini yang hanya 10 yuan (RM5.90), tetapi jarang dikuatkuasakan.

Sesiapa yang melanggar undang-undang itu sebanyak tiga kali akan dimalukan dengan nama mereka dipamerkan di laman sesawang kerajaan.

Peniaga boleh dikenakan denda sehingga 10,000 yuan (RM6,100) jika gagal menguatkuasakan larangan merokok di premis mereka.

Selain itu, kerajaan turut melarang rokok dijual di kedai yang jaraknya terletak 100 meter dari sekolah rendah dan tadika.

Rokok adalah penyebab utama masalah kesihatan di China.

Kira-kira 300 juta penduduk penduduk negara itu menjadikan tabiat itu sebahagian daripada kehidupan sosial mereka.

Penyokong anti-tembakau berkata, mereka kini lebih yakin dengan keazaman kerajaan menguatkuasakan larangan itu selepas mengambil beberapa langkah tegas dalam tempoh beberapa bulan, termasuk menaikkan cukai tembakau. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 9:11 AM