Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Seramai 350 pegawai dan anggota daripada 13 agensi penguatkuasaan dikerah untuk memeriksa 74 premis yang disyaki menjalankan kegiatan haram dalam Ops BAH 4 yang dilancarkan pagi tadi.

Antara agensi yang terbabit adalah anggota daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jawatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Malaysia (SPAN), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Telekom Malaysia (TM).

Serbuan yang bermula jam 11 pagi itu menumpukan premis seperti pusat siber, rumah urut dan pusat judi haram selain mengesan jenayah dadah serta pendatang asing tanpa izin.

Operasi yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikshan dibahagi kepada tiga kumpulan di dua lokasi.

Antara lokasi tumpuan operasi kali ini adalah Bandar Tun Razak dan Cheras yang dikenal pasti sebagai kawasan panas berdasarkan kepada pemantauan pihak berkuasa sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 September 2014 @ 1:41 PM