Rakan yang tinggal di sebuah negeri datang bertandang menje­nguk SS baru-baru ini. Dalam kunjungannya itu, dia mengajak SS pergi menemaninya ke sebuah bazar jualan yang menempatkan ramai barisan selebriti.

Katanya, dia teruja nak melihat selebriti di depan mata dan membeli barangan jualan mereka apabila menatap publisiti mengenainya di media massa dan media sosial.

Malangnya SS pula sangat sibuk dengan pelbagai urusan dan terpaksa melepaskan dia pergi sendirian.

SS ingatkan dia gembira dapat memenuhi hajatnya, tapi agak terkejut apabila dia pulang dengan wajah yang agak muram. Apabila ditanya, rakan ini mengadu apa yang berlaku sebenarnya indah khabar dari rupa.

Katanya, dia kecewa apabila mendapati tempat itu kurang bermaya dan tiada pengunjung. Yang banyak meramaikan keadaan hanyalah peniaga sedangkan lokasinya di tengah-tengah pusat bandar raya.

Sedih betul apabila dia mendapati barisan selebriti duduk berehat begitu saja tanpa sebarang aktiviti jualan. Ada juga gerai terbiar kosong. Disebabkan simpati, dia membeli beberapa barangan jualan selebriti di situ sebagai tanda kenang-kenangan.

SS pun kasihan juga dengar cerita yang disampaikan. Niat selebriti ini mencari rezeki halal, tapi apakan daya bazar jualan ini kurang sambutan.

SS tak pasti nak salahkan siapa, tapi diharapkan penganjurnya bekerja keras menggiatkan promosi agar bazar ini tak jadi projek gajah putih.

SS: Menyokong jualan rakan-rakan media dan selebriti yang cari rezeki halal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:01 AM