Oleh Neelofa

Selamat hari raya Malaysia! Selamat hari raya pembaca setia Metro Ahad terutamanya yang selalu mengikuti ruangan Nota Neelofa. Terima kasih atas sokongan yang berpanjangan.

Alhamdulillah, hari ini adalah hari ketiga kita umat Islam meraikan hari kemenangan. Bagi yang masih berada di kampung, teruskan amalan kunjung-mengunjung yang sudah menjadi sebahagian daripada ‘warna’ Syawal itu sendiri.

Sementara bagi mereka yang sudah pulang ke kota atas tuntutan kerja, jangan jadikan ianya alasan untuk tidak menyambut hari

raya. Rancanglah sambutan raya bersama rakan seangkatan. Insya-Allah, kemeriahan itu masih sama.

Seperti biasa, tahun ini Lofa menyambut ketibaan Syawal di negeri yang begitu terkenal dengan jolokan Cik Siti Wan Kembang, Kelantan. Pada pandangan Lofa, sambutan Aidilfitri di mana-mana tempat, kebanyakannya sama saja. Cuma yang membezakannya adalah, bagaimana sesebuah keluarga itu mewarnainya.

Macam keluarga Lofa, memang sudah menjadi tradisi kami semua sanak saudara, perlu tidur di rumah nenek. Tiada siapa pun dibenarkan menginap di hotel atau rumah rehat.

Bayangkan, dengan jumlah adik-beradik yang ramai kami semua perlu tidur di dalam satu rumah. Tapi hakikatnya ia berupa satu tradisi yang sangat menyeronokkan.

Waktu kecil dahulu, Lofa memang kalau boleh nak tidur di lantai sambil berhimpit de­ngan sepupu Lofa yang lain. Bila dah besar sedikit, kaum wanita dikhaskan tidur di dalam bilik. Bila sudah berkumpul satu rumah, memang berjaga malam lah jawabnya. Sudahnya, esok semua bangun dengan mata tidak cukup tidur.

Satu lagi perkara yang menarik mengenai sambutan raya Lofa adalah pada pagi hari raya. Memandangkan jumlah kami agak ramai, jadi barisan yang menanti hendak mandi pun agak panjang.

Selalunya, mereka yang lebih tua akan mandi terlebih dahulu. Barulah diikuti dengan yang kecil. Bagi yang terjaga lambat, memang kena beraturlah menanti giliran untuk mandi.

Bila kenangkan kembali pengalaman itu memang lucu sebenarnya situasi ini. Kalau di Kuala Lumpur, semua orang memiliki bilik mandi masing-masing, tidak perlu beratur dan berkongsi. Namun di kampung semuanya sama rata. Tiada layanan tambahan. Tidak kira siapa pun mereka termasuklah Lofa.

Suasana sambutan hari kemenangan di sini memang meriah. Amalan kunjung-mengunjung masih kuat dipraktikkan. Hari pertama, selalunya Lofa sekeluarga lebih selesa duduk di rumah sambil menantikan kehadiran sanak saudara.

Masuk hari kedua dan seterusnya, barulah kami sekeluarga akan konvoi bersama sanak saudara yang lain. Seronok sebenarnya berkonvoi beramai-ramai. Ia secara tidak langsung akan menambah seri dan warna dalam sambutan hari raya kita.

Walaupun hari pertama raya selalunya dikhaskan untuk sanak saudara, Lofa tetap menerima kunjungan peminat ke rumah. Bagi Lofa, tidak kisahlah peminat mahupun siapa, hari raya adalah hari di mana kita patut bergembira tanpa ada perbezaan status. Lofa sendiri sebenarnya sangat seronok menerima kunjungan peminat kerana bagi Lofa, inilah peluang terbaik untuk Lofa lebih mengenali mereka terutamanya yang tinggal di Pasir Mas.

Keluarga Lofa boleh dikatakan agak besar. Walaupun Lofa boleh dikatakan agak rapat dengan semua sepupu, tapi bila berkumpul beramai-ramai, pasti ada saja benda yang nak dikongsikan.

Lagaknya macam dah bertahun-tahun tidak jumpa. Itulah keunikan dan magisnya hari raya bagi Lofa. Yang ikatan sudah sedikit renggang, kita rapatkan kembali. Sudah rapat, kita mesrakan lagi.

Macam tidak sah kalau sebut mengenai sambutan hari raya, kita tak bercerita mengenai makanan. Antara juadah yang sentiasa menambat hati Lofa pastinya rendang dan juga lontong.

Bagi Lofa, dua jenis juadah ini kalau dimasak pada hari biasa, macam tidak ada ‘umpph’. Tapi kalau menikmatinya pada hari raya, berpinggan-pinggan pula ditambahnya.

Selalunya di hari raya, Lofa memang akan lupakan terus mengenai diet. Iyalah, setahun sekali sajakan kita meraikannya, apa salahnya makan lebih sedikit daripada kebiasaan. Rugi pula kalau kita tak cuba dan makan makanan yang susah untuk didapati pada hari biasa.

Tapi ingat, bagi yang ada sakit dan sebagainya, jangan pula tiru perangai ‘hantu makan’ Lofa ini. Anda perlu kawal keinginan dan nafsu makan, bersesuaian dengan status kesihatan masing-masing.

Cakap pasal menyambut hari kemenangan memang tidak akan habis. Suka, tawa dan riang ria itu sebahagian daripada warna-warni hari raya.

Alhamdulillah, boleh dikatakan tahun ini merupakan antara tahun yang sangat indah buat Lofa. Peluang berkumpul beramai-ramai, merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Lagi dua hari Lofa akan pulang ke Kuala Lumpur. Pasti Lofa akan rindui perasaan riuh rendah di rumah nenek.

Pesanan buat mereka yang bakal pulang ke kota pada hari ini, pandu dengan berhati-hati. Jadilah pemandu yang berhemah. Berhenti sekiranya anda mengantuk atau penat.

Di kesempatan yang ada ini, sekali lagi Lofa nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin, ikhlas daripada Lofa sekeluarga. Diharapkan, segala kekurangan, salah dan silap Lofa dapat dimaafkan. Assalammualaikum.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 4:22 AM