NOH mempersembahkan lagu secara akustik .
NOH mempersembahkan lagu secara akustik .
JOHN Bear bersama Budak Nakal Hujung Simpang.
JOHN Bear bersama Budak Nakal Hujung Simpang.
Oleh Michelle Gun


Sesi akustik Malam Kita yang menampilkan penyanyi popular Noh Salleh di restoran Teh Tarik Place, Shah Alam Jumaat lalu menerima sambutan hangat.

Persembahan dianjurkan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu bertujuan mengutip dana untuk disalurkan kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF).

Dana sebanyak RM100,000 diperlukan bagi membeli sebuah mesin sistem air ‘Reverse Osmosis’ yang akan ditempatkan di salah satu pusat dialisis NKF.

Pada persembahan itu, Noh yang juga vokalis Hujan menghiburkan peminat dengan 13 lagu yang kebanyakannya lagu hit kumpulan itu.

Dia turut mendendangkan empat lagu daripada album solo baru iaitu Biar Seribu, Sang Penikam, Angin Kencang dan Bunga Di Telinga.

Terdahulu, acara bermula sekitar jam 9 malam dengan persembahan John Bear bersama Budak Nakal Hujung Simpang. Kumpulan itu menyampaikan lagu Kisah Sebenar diikuti Terukir Di Bintang.

Kemudian, pentas diserahkan kepada Noh yang memilih lagu Dikala Bulan Bermain Biola sebagai persembahan pertama.

Dengan hanya memetik gitar, penyanyi itu meneruskan nyanyian seterusnya dengan lagu Biar Seribu, Pagi Yang Gelap, Dugaannya dan Sang Penikam.

Bagi menghangatkan lagi suasana, penyanyi itu sesekali berkomunikasi dengan peminat dan menerangkan kepada mereka mengenai lagu yang bakal dipersembahkan.

Kemuncak persembahan tiba apabila Noh mula mendendangkan lagu Bagaikan Matahari yang dipetik dari album ketiga Hujan berjudul Lonely Soldier Boy yang dikeluarkan pada 2010.

Penonton turut bersama menyanyikan lagi itu diikuti dengan Mencari Konklusi, Aku Skandal, Bunga Di Telinga dan Empayarmu.

Acara selama dua jam itu akhirnya melabuhkan tirai dengan Noh menyampaikan lagu baru Angin Kencang.

Ternyata bayaran tiket RM20 untuk menyaksikan persembahan Noh berbaloi kerana peminat turut berpeluang beramah mesra serta mengambil gambar kenangan bersama penyanyi itu sebaik persembahan selesai.

Selain Malam Akustik, projek mengutip dana bagi mencapai sasaran RM100,000 diteruskan dengan satu lagi acara kesihatan iaitu AeroDance pada 23 Mei ini.

Program yang bakal berlangsung di Laman Budaya Shah Alam itu menyasarkan 500 peserta daripada kalangan pelajar UiTM serta komuniti bandar raya berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 12:03 PM