FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi, Yuna, 29, memukau lebih tiga ribu peminatnya menerusi konsert Yuna Live In Malaysia yang berlangsung, di sini, malam tadi.

Konsert hampir dua jam itu menyaksikan Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai menyanyikan 18 lagu popular berbahasa Malaysia dan Inggeris.

Yuna membuka tirai persembahan dengan lagu berhantunya Dan Sebenarnya diikuti dengan lagu-lagu dari album Inggeris pertama yang diterbitkan di Amerika Syarikat.

Tidak ketinggalan lagu-lagu seperti Terukir Di Bintang, Penipu, Lelaki, Lautan dan Penakut.

Buat pertama kalinya juga, Yuna menyanyikan secara eksklusif lagu hasil kolaborasi bersama penerbit ternama, David Foster iaitu All I Do.

Mengakhiri persembahan, Yuna mendendangkan lagu I Wanna Go.

"Terima kasih kepada semua kerana sudi hadir menyaksikan konsert ini. InsyaAllah, panjang umur kita berjumpa lagi," katanya.

Penyanyi, Noh Salleh turut membuat persembahan sebagai jemputan. Noh menyanyikan tiga lagu iaitu Angin Kencang, Bunga Di Telinga dan Sang Penikam.

Konsert Yuna Live In Malaysia ini adalah konsert kedua berskala besar yang dijayakan selepas kali pertama pada 2013 di Panggung Sari, Istana Budaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 12:48 AM