Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) termasuk kos sara hidup,pendidikan, keselamatan, pengangkutan awam dan pembangunan di luar bandar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ekonomi untuk rakyat akan terus ditekankan dalam RMK-11 seperti yang ditekankan dalam perbentangan Bajet 2015.

Katanya, tumpuan khusus juga akan diberikan kepada pendidikan teknikal dan vokasional serta latihan.

"Cita-cita kami yang akan dipacu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) adalah untuk melahirkan graduan yang menepati kehendak industri.

"Bagaimanapun, ekonomi untuk rakyat sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan daripada sektor korporat dalam meraih pendapatan, menjana peluang pekerjaan dan membantu pembangunan kerjaya," katanya ketika berucap pada Sesi Dialog Bersama Pemimpin Perniagaan di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Najib berkata, ketika beliau mengambil alih kepimpinan kadar defisit fiskal negara adalah 6.6 peratus, namun dalam enam tahun ini kadar berkenaan diturunkan ke 3.2 peratus tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 9:57 AM