Kuala Lumpur: Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 21 Mei depan akan menangani kemiskinan dari perspektif pelbagai dimensi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, dimensi yang diambil kira dalam penggubalan langkah-langkah menangani isu itu ialah pendapatan, akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan keadaan kehidupan.

“Kelmarin, kami ada taklimat dengan anggota Kabinet. Kami mendapatkan input daripada mereka mengenai RMK-11 dan kami akan membuat perubahan lanjut.

“Kami akan gunakan tempoh beberapa minggu akan datang untuk membuat persiapan akhir,” katanya selepas menyampaikan ucapan khas pada Simposium Kebangsaan India Malaysia dan RMK11, di sini, semalam.

Beliau berkata, RMK-11 akan ditunjangi oleh Strategi Pembangunan Nasional Malaysia yang memberi penekanan terhadap ekonomi rakyat.

Sebelum itu dalam ucapan khasnya, Abdul Wahid mengetengahkan kepentingan meningkatkan pekerjaan.

“Kita mesti terus mencari model baru dan mapan agar kita dapat membantu belia bermasalah mengubah diri serta berjaya dalam hidup, daripada sekadar menyediakan pekerjaan bergaji RM900 sebulan,” katanya.

Simposium sehari itu dianjur oleh Yayasan Pemulihan Sosial (YPS) dan Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir Pengerusi YPS Datuk Seri S Samy Vellu. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:27 AM