RAIHAN bersama bayinya menaiki ambulans untuk ke Klinik Kesihatan Seri Langkap. FOTO Ihsan APM.
RAIHAN bersama bayinya menaiki ambulans untuk ke Klinik Kesihatan Seri Langkap. FOTO Ihsan APM.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Seorang ibu muda terpaksa meminta bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk membawa bayinya yang berusia tiga hari mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Seri Langkap, Setiu, hari ini.

Raihan Nasuha Sadi, 24, dari Kampung Kasar, di sini, berkata laluan di kawasan kediamannya ditenggelami air sedalam kira-kira satu meter menyebabkan terpaksa meminta bantuan APM untuk membawa bayi perempuan berkenaan.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada APM kerana menghantar ambulans untuk membawa bayi ke Klinik Kesihatan Seri Langkap dengan selamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Raihan berkata, laluan dari rumahnya ke jalan utama ditenggelami air sedalam kira-kira satu meter selepas hujan lebat sejak semalam.

"Pada mulanya kita bercadang untuk mengharungi air ke lokasi yang lebih tinggi bagi mendapatkan kenderaan untuk membawa bayi mendapatkan rawatan.

"Tetapi atas nasihat kedua ibu bapa, saya menghubungi APM untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap APM negeri, berkata sebuah ambulans bersama tiga anggota dihantar untuk mengambil dua beranak itu ke Klinik Kesihatan Seri Langkap selepas menerima panggilan.

"Raihan dan bayinya kini sedang menjalani rawatan dan kita juga akan menghantarnya pulang ke rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 12:42 PM