KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Big Bad Wolf Books Sdn Bhd untuk menjadikan pesta buku ‘The Big Bad Wolf Book Sale’ sebagai acara tahunan universiti itu.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Yahaya Ibrahim berkata, dengan penganjuran pesta buku terbesar di Pantai Timur itu, ia dapat membantu universiti itu meningkatkan minat membaca dalam kalangan mahasiswanya dan komuniti setempat.

"Program ini juga adalah satu daripada usaha mendekatkan UniSZA dengan komuniti luar," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu di sini.

Yahaya menandatangani MoU itu bagi pihak UniSZA manakala Big Bad Wolf Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya Andrew Yap.

Pesta buku enam hari itu, yang bermula hari ini, akan menjual lebih 700,000 judul buku tempatan dan antarabangsa dengan harga serendah RM3 selain potongan harga antara 75 hingga 95 peratus untuk buku tertentu.

Yahya berkata, pihaknya menjangkakan lebih 30,000 orang akan mengunjungi pesta buku itu.

Yap pula berkata, beliau menyokong penuh usaha UniSZA menganjurkan pesta buku itu dan berharap ia dapat membantu minta membaca bahan-bahan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat pantai timur. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 8:03 PM