GEORGETOWN: Mayat seorang lelaki bertatu bunga di lengan kiri dijumpai terapung berdekatan tiang nombor 36 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dekat sini, hari ini.

Komander Operasi Kanan Penolong Penguatkuasa Bomba Abdul Rahman Jamal Abdul Nasir berkata, mayat itu ditemui nelayan pada 4.30 petang sebelum dilapor hanyut sehingga ke Perairan Teluk Tempoyak, Batu Maung.

"Pasukan bomba dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagaimanapun dapat menemui mayat itu dan membawanya ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Lai Fah Hin ketika dihubungi berkata, tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama mayat itu.

Beliau berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu berkulit cerah dan memakai baju T hitam serta seluar pendek berwarna kelabu.

"Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat," katanya sambil meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 10:52 PM