Oleh Syazwan Msar


Rompin: Generasi kedua FELDA menyambut baik keprihatinan kerajaan untuk mengurangkan harga rumah Projek Generasi Baru FELDA (PGBF) kepada RM90,000 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Presiden Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) Anuar Abd Manap berkata, pengumuman itu sememangnya dinantikan oleh mereka kerana ia merealisasikan impian anak peneroka untuk memiliki kediaman sendiri.

"Harga ditawarkan sebelum ini memang tidak mampu dimiliki oleh golongan generasi kedua FELDA dan kita sendiri sudah membawa perkara ini kepada Perdana Menteri menerusi satu memorandum khas pada April tahun lalu.

"Kita sambut baik pengumuman ini dan kita harap FELDA selepas ini tidak hanya fokus kepada perumahan tetapi aspek lain seperti peluang pekerjaan kepada golongan kedua FELDA," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Generasi kedua FELDA dari Keratong 1, Norul Azwal Baharim, 32, berkata dia berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mendengar keluhan daripada anak peneroka yang mengimpikan kediaman sendiri.

"Perumahan menjadi keutamaan buat kami dan ramai tidak mampu memiliki rumah kerana harga ditawarkan menerusi PGBF agak tinggi selain berdepan dengan kesukaran memohon pinjaman daripada bank.

"Pengumuman ini akan membolehkan kami terus menetap dalam tanah rancangan FELDA dan tidak perlu merantau ke bandar untuk mencari pekerjaan sekali gus membantu meningkatkan ekonomi FELDA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 9:15 PM