Bangunan Menara Felda
Bangunan Menara Felda
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Peruntukan dalam Bajet 2022 ini diharap dapat menambah baik Felda sebagai sebuah agensi yang berdaya saing.

Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Rauzan Esa berkata, peruntukan ini juga diharap dapat mempercepatkan proses pengambilalihan dan penswastaan Felda Global Ventures (FGV) yang menjadi sumber utama pendapatan.

Menurutnya, peneroka dan generasi kedua juga boleh memanfaatkan Program Pembangunan Peneroka (PPP) untuk dapatkan geran bagi menjalankan aktiviti pertanian, penternakan dan tanaman.

"Ia boleh menjadi sumber ekonomi selain kebergantungan kepada hasil sawit dan getah. Program ini juga dapat meningkatkan kemandirian peneroka dan generasi serta merancakkan aktiviti ekonomi di rancangan.

"Peruntukan dalam Bajet 2022 ini diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memacu Felda ke arah yang lebih baik.

"Bajet 2022 ini boleh disalurkan untuk Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dan infrastruktur untuk Tanah Lot Generasi Kedua Felda," katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, katanya, infrastruktur kawasan Felda juga boleh ditambah baik demi keselesaan dan keselamatan peneroka.

Menerusi Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan RM2.5 bilion bagi 2022 untuk terus memperkasa pembangunan masyarakat luar bandar melalui program pembangunan komoditi.

Daripada jumlah ini, RM1.3 bilion disalurkan kepada Felda bagi tujuan pakej pemulihan dan pembangunan peneroka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 8:02 PM