ORANG ramai berkongsi detik Trak Sarapan Horlicks.
ORANG ramai berkongsi detik Trak Sarapan Horlicks.
TRAK Sarapan Horlicks yang akan melawat sekolah dan tempat awam.
TRAK Sarapan Horlicks yang akan melawat sekolah dan tempat awam.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


GlaxoSmithKline (GSK) Consumer Healthcare, baru-baru ini memperkenalkan Kempen Sarapan Hari-Hari Horlicks untuk mendidik 1.5 juta warga dari segenap lapisan masyarakat mengenai pentingnya sarapan berkhasiat optimum yang mempunyai imbangan lengkap multivitamin, mineral dan mikro nutrien yang diperlukan tubuh.

Kempen ini bertujuan menangani tabiat makan yang kurang baik dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya murid sekolah di Semenanjung Malaysia.

Menurut kajian, tiga daripada 10 orang murid sekolah rendah di Malaysia tidak mengambil sarapan dan dilaporkan bahawa sarapan adalah makanan yang paling kurang diambil oleh kanak-kanak Malaysia.

Kajian yang dijalankan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan hanya 22 peratus kanak-kanak sekolah di Kuala Lumpur biasa mengambil sarapan dan lazimnya pilihan mereka ialah roti, biskut dan bijirin sedia dimakan.

Hasil kajian lebih lanjut menunjukkan ramai murid sekolah tidak mendapat gizi atau khasiat yang mencukupi dengan 13.2 peratus daripada mereka kurang berat badan dan 15.8 peratus menunjukkan pertumbuhan terbantut.

Sebahagian besarnya berpunca daripada tabiat makan yang kurang sihat seperti kerap mengambil snek dan makanan segera selain amat kurang makan buah-buahan dan sayur-sayuran, malah tidak bersarapan.

Ini menjadi punca kekurangan mikro nutrien penting dan 'kelaparan tersembunyi'. Berbeza dengan kelaparan yang berpunca daripada kekurangan atau penafian makanan, kelaparan tersembunyi pula adalah kekurangan vitamin dan mineral yang kronik tetapi biasanya tidak memperlihatkan tanda amaran yang ketara.

Mereka yang menderita kelaparan tersembunyi ini mungkin tidak menyedarinya, namun kesannya adalah buruk kerana mengakibatkan pembangunan mental, kesihatan fizikal dan produktiviti yang lemah.

Jadi untuk mengatasi masalah ini, Kempen Sarapan Hari-Hari Horlicks berhasrat mendidik rakyat Malaysia supaya membuat pilihan yang tepat pada pagi hari dengan mengambil sarapan berkhasiat agar mereka memperoleh gizi yang diperlukan.

Ramai yang memandang remeh kepentingan sarapan sedangkan ia adalah sajian terpenting untuk sepanjang hari. Berkemungkinan besar banyak keluarga membuat pilihan pemakanan yang tidak betul disebabkan gaya hidup mereka yang terdesak.

Pengarah Pemasaran GSK, Katharine Chen menegaskan, sarapan bukan saja membolehkan seseorang memulakan hari baru mengikut landasan yang betul, malah ada kaitannya dengan banyak manfaat kesihatan yang memberikan kesejahteraan dan daya penumpuan di sekolah atau di tempat kerja.

"Horlicks cuba menyedarkan seluruh rakyat Malaysia mengenai kepentingan sarapan sihat dalam usaha membanteras kejadian kelaparan tersembunyi. Kami berharap dapat mendidik 1.5 juta rakyat Malaysia melalui kempen Sarapan Hari-Hari Horlicks supaya mereka tahu betapa pentingnya pemakanan yang betul lagi berkhasiat.

"Memang tepat sekali Horlicks mengambil peranan ini hari ini kerana Horlicks mempunyai legasi pemakanan yang kukuh sejak 1873 lagi. Disokong dengan formulasi saintifik, rakyat Malaysia sudah menikmati minuman malt yang kaya ini selama lebih 50 tahun.

"Hanya dengan dua gelas Horlicks, ia membekalkan 115 peratus kalsium berdasarkan Rujukan Nutrien Pengambilan (RNI) harian dan menyediakan permulaan yang bernutrisi penting apabila diambil ketika sarapan," katanya pada pelancaran kempen berkenaan.

Walaupun rata-rata rakyat Malaysia suka bersarapan dengan roti canai, nasi lemak, mi kari dan kuih-muih, namun manfaatnya dari segi khasiat tidak memenuhi keperluan harian yang diperlukan oleh badan.

Horlicks membantu melengkapkan nilai pemakanan kerana ia diperkaya dengan kalsium, vitamin D dan 23 nutrien penting yang diperlukan bagi pertumbuhan dan perkembangan tubuh badan.

Antara aktiviti pada majlis itu adalah perbincangan mengenai manfaat yang boleh didapati daripada pengambilan sarapan berkhasiat dan pemakanan sebenar kebanyakan rakyat Malaysia pada sebelah pagi.

Selain itu, turut diadakan demonstrasi masakan pilihan sarapan oleh pakar pemakanan undangan, Alexandra Prabaharan yang menunjukkan bagaimana nasi lemak dan sandwic boleh menjadi sajian lazat dan berkhasiat dengan sedikit perubahan kepada bahan dan ramuannya.

Alexandra berkata, sedikit perubahan ramuan dan tabiat makanan boleh membawa perbezaan besar kepada sarapan.

"Gantikan kaedah menggoreng dengan bakar atau panggang, selain mengurangkan pengambilan karbohidrat dan gula bagi memastikan kita menikmati sarapan yang lebih sihat.

"Sebagai contoh, sandwic telur yang ringkas dengan secawan Horlicks akan membekalkan nilai pemakanan yang lebih baik buat anda dan si kecil berbanding sebungkus nasi lemak atau mihun goreng," katanya.

Selaras dengan agenda kempen, Trak Sarapan Horlicks akan melawat 109 sekolah dan 66 tempat awam di sekitar Lembah Klang untuk membangkitkan kesedaran masyarakat, selain membekalkan minuman Horlicks percuma kepada kanak-kanak sekolah dan orang ramai.

Bagi menyokong kempen ini, orang ramai boleh berkongsi detik Trak Sarapan Horlicks, sarapan kegemaran dan idea sarapan inovatif mereka dengan muat naik gambar di platform media sosial menggunakan hashtag #HariHariHorlicks.

Lima penyertaan terbaik dengan gambar dan keterangan gambar yang paling kreatif akan menerima 12 pek Horlicks setiap seorang. Peraduan ini berlangsung dari 23 Mac hingga 30 April.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 12:50 PM