SUASANA meriah di Malam Media Anugerah Red Box.
SUASANA meriah di Malam Media Anugerah Red Box.
Oleh Norhadiani Baharom


Selepas berjaya ke final Anugerah Juara Lagu Ke-29 lagu popular nyanyian Datin Alyah Abu Hassan, Sesal Separuh Nyawa meraih kejayaan susulan apabila tersenarai dalam 10 lagu paling hit di carta Red Box.

Perkara ini diumumkan pada Malam Media Anugerah Red Box di Puchong, baru-baru ini.

“Syukur alhamdulillah kerana lagu ini mendapat tempat di hati pendengar dan penggemar karaoke. Ingin saya nyatakan di sini bahawa saya kini dalam perancangan melancarkan single terbaru tidak lama lagi. Ada beberapa lagu selesai dirakamkan dan masih dalam pertimbangan untuk melancarkan yang mana dulu.

“Saya sekali lagi bekerjasama dengan komposer muda antaranya Manusia Putih, Aidil dan Alfie Alwi kerana keserasian dan merasakan mereka ini berbakat,” katanya.

Selain lagu Alyah, sembilan lagi lagu Melayu popular turut mendapat pengiktirafan adalah Romancinta dendangan Mojo. Romancinta mendominasi kategori berkenaan sebagai lagu paling popular.

Turut dalam senarai lagu Melayu paling popular ialah Setelah Kau Tiada (Cakra Khan), Malaikat (Hazama), Tepi Sikit (Sleeq & Joe Flizzow), Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah), Salahkah (Rossa & Hafiz), Jaga Dia Untukku (Datuk Siti Nurhaliza) dan Akhiri Penantianku (Alif Satar).

Kategori lagu berbahasa Inggeris menyenaraikan lagu seperti Let It Go (Idina Menzel), Happy (Pharrell Williams), Animals (Maroon 5), Rude (Magic), Thinking Out Loud (Ed Sheeran), All Of Me (John Legend), Human (Christina Perri), Stay With (Sam Smith), Chandelier (Sia) dan Shake It Off (Taylor Swift).

Penghargaan disampaikan Ketua Pegawai Operasi Red Box, Michael Yong kepada artis dan wakil syarikat rakaman terbabit.

Hampir 200 wakil media dan pegawai perhubungan awam syarikat rakaman diraikan dengan pelbagai aktiviti seperti nyanyian karaoke, sukaneka dan cabutan bertuah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 5:02 AM