FATIN FARHANA JAPRE mahu menukar persepsi umum yang menganggap selam skuba adalah sukan lasak yang hanya diceburi golongan berada dengan menemu bual seorang anak muda yang gemarkan hobi ini.

Sebenarnya, sukan dan aktiviti menyelam sesuai untuk semua asalkan anda mempunyai minat dan keyakinan diri menceburi aktiviti ini. Aktiviti menyelam semakin dikenali dalam kalangan penggiat sukan lasak dan pencinta alam semula jadi pada masa kini terutamanya belia.

Izat Farhan Hashim, 24, salah seorang belia yang gemarkan aktiviti selam skuba dan laut dalam bagaikan sudah sebati dengan dirinya. Penulis berkesempatan menemu bual Izat ketika berkunjung ke Pulau Tioman dan mencuba pengalaman menyelam skuba buat kali pertama bersamanya.

Minatnya terhadap pulau dan tidak takut air sejak kecil menimbulkan keterujaan untuk mengambil lesen menyelam skuba sebaik saja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Seorang rakannya yang berpengalaman dalam bidang berkenaan menyarankannya mengambil lesen di Abect Aqua Dive Center Tekek.

“Saya mengambil lesen menyelam skuba peringkat Dive Center yang baru saja beroperasi dan kekurangan pekerja. Sebaik tamat latihan, saya bertanya kepada pemilik AADC, Badawi Fauzi, 37, sekiranya dia memerlukan tenaga kerja di kedainya dan saya akan datang bekerja setiap hujung minggu.

“Saya diterima bekerja dan setiap Khamis malam, saya akan bertolak dari Kuala Lumpur ke Pulau Tioman yang berterusan selama dua bulan. Justeru, saya menyuarakan hasrat kepada Abect untuk mengambil lesen peringkat kedua, Advance Scuba Diver di samping bekerja di kedai miliknya. Saya belajar banyak ilmu menyelam skuba daripada Abect serta penyelam berpengalaman yang datang ke sini,” katanya.

Pada 2012, Izat memiliki lesen peringkat akhir Dive Master di bawah pelesenan National Association of Underwater Instructors. Kebiasaannya, dive master memerlukan latihan selama tiga bulan, namun Izat meminta latihannya dipanjangkan selama 10 bulan kerana ingin belajar lebih ba­nyak mengenai skuba.

“Saya mula latihan dan bekerja dengan Abect sehing­ga 2013, namun hobi saya ini hampir terpaksa saya lupakan apabila saya diserang asma teruk secara tiba-tiba. Saya memang mempunyai penyakit asma tetapi disebabkan saya kerap turun laut untuk menyelam skuba, penyakit asma saya menjadi teruk dan saya terpaksa pulang ke Kuala Lumpur untuk rawatan susulan.

“Kedalaman paling dalam saya pernah menyelam ialah 50 meter. Boleh dikatakan hampir setahun saya terpaksa melupakan hobi kegemaran saya ini demi menjaga kesihatan diri. Selama setahun itu juga saya bekerja sebagai pe­ngurus majlis buat sementara waktu di Kuala Lumpur,” kata anak tunggal ini.

Anak muda ini sangat beruntung kerana tidak perlu mengeluarkan kos untuk peralatan skuba memandangkan ayahnya bekas penyelam skuba. Bahkan, pemilik kedai Abect dan juga penyelam dari luar negara yang datang ke Pulau Tioman turut memberikan peralatan menyelam sebagai hadiah kepadanya. Boleh dikatakan semua peralatannya mempunyai nilai sentimental.

Namun, rindunya anak muda ini terhadap hidupan marin dan air masin memang tidak dapat dipisahkan apabila dia memberanikan diri menyelam semula awal tahun ini meskipun dirinya berisiko diserang asma semula.

Tetapi dia sendiri bagaikan tidak percaya apabila asmanya langsung tidak menyerang dan kembali meneruskan hobi menyelam di dasar laut sehingga kini.

“Selama lima tahun ini, macam-macam ragam orang yang saya jumpa seperti takut nak menyelam pada mulanya, namun setelah mencuba, mereka yang lebih teruja. Menyelam skuba sangat unik bagi saya kerana kita dapat melihat hidupan marin dan terumbu karang di dasar laut memandangkan kita selalu berada di darat. Selam skuba sangat menyeronokkan, cuba dulu baru tahu dan anda akan jatuh cinta dengan laut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 5:01 AM