Oleh Asrol Awang


Kuantan: Aminuddin Hussin menyerahkan kedudukannya selaku jurulatih kepada Persatuan Bolasepak Daerah Kuantan (Kuantan FA) selepas sekadar seri 3-3 dengan Kuala Lumpur, kelmarin.

Bagi bekas jurulatih Harimau Muda C itu, beliau sudah melakukan yang terbaik untuk menyahut cabaran bagi memastikan kemenangan tetapi anak buahnya gagal melaksanakannya.

“Setakat ini saya menerima segala keputusan daripada pengurusan tapi sebagai jurulatih, saya sudah memberikan segalanya untuk memperkasakan skuad ini.

“Tapi dengan keupayaan pemain yang sedia ada di Kuantan FA saya menerima keputusan seri dengan Kuala Lumpur sekalipun sepatutnya kemenangan mampu diraih,” katanya.

Rabu lalu, Naib Presiden Kuantan FA, Datuk Wan Solihi Wan Hassan memberi kata dua kepada Aminuddin andai skuad itu tidak mencatat kemenangan ke atas Kuala Lumpur.

Kata dua itu mungkin menyaksikan jurulatih itu direhatkan sementara disebabkan aksi kurang bertenaga yang dipamerkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:03 AM