SEBUAH  kereta perisai polis membawa wanita Filipina, Mary Jane Veloso, tiba di Cilacap sebelum ke penjara Nusakambangan, semalam.
SEBUAH kereta perisai polis membawa wanita Filipina, Mary Jane Veloso, tiba di Cilacap sebelum ke penjara Nusakambangan, semalam.

Jakarta: Ahli keluarga dan diplomat asing semalam bergegas melawat beberapa pesalah dadah yang bakal dihukum mati di Indonesia ketika pihak berkuasa negara itu membuat persiapan akhir untuk menjalankan hukuman berkenaan.

Indonesia menasihati pegawai kedutaan negara terbabit untuk pergi ke penjara di pulau Nusakambangan itu pada minggu ini.

Keluarga semua pesalah juga dilapor turut membuat persediaan sama untuk ke penjara berkenaan.

Seorang warga Australia, Chinthu Sukumaran berkata di Sydney, dia sudah membuat persiapan untuk melawat abangnya, Myuran, antara sembilan orang rakyat asing yang menanti hukuman itu.

“Saya tidak percaya ini terjadi tetapi kami masih belum berputus asa,” katanya kepada akhbar Sydney Morning Herald.

Lapor akhbar itu, Michael Chan, adik seorang lagi pesalah, Andrew juga dalam persiapan untuk ke Indonesia.

Pegawai kedutaan Brazil diminta pihak berkuasa Indonesia untuk berada di Cilacap, bandar pelabuhan di Nusakambangan pada hari ini.

Pihak berkuasa Indonesia sedang melakukan persiapan terakhir untuk melaksanakan hukuman mati terhadap 10 pesalah dadah dari Australia, Perancis, Brazil, Filipina, Nigeria, Ghana dan seorang warganya sendiri.

Kesemua mereka bakal berdepan penembak tepat di penjara berkenaan walaupun mendapat bantahan masyarakat antarabangsa.

Hukuman itu akan dilaksanakan selepas rayuan mereka untuk mendapat pengampunan presiden ditolak.

Wanita warga Filipina, Mary Jane Veloso yang turut berada dalam senarai berkenaan diberi peluang untuk bersama dua anak lelakinya yang berusia 12 dan enam tahun, kelmarin sebelum dipindahkan ke Nusakambangan, semalam.

Diplomat asing berkata, mereka belum dimaklumkan tarikh sebenar pesalah berkenaan ditembak.

Bagaimanapun, pengumuman hukuman itu dijangka dibuat pada bila-bila masa kerana sebelum dijalankan, pihak berkuasa perlu memberi notis 72 jam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:08 AM