AKTIVIS Indonesia menunjuk perasaan di luar pejabat peguam negara di Jakarta kerana membantah hukuman mati ke atas pesalah dadah, semalam.
AKTIVIS Indonesia menunjuk perasaan di luar pejabat peguam negara di Jakarta kerana membantah hukuman mati ke atas pesalah dadah, semalam.
ANTARA ambulans yang membawa keranda tiba di Pelabuhan Wijayapura untuk ke Pulau Nusakambangan.
ANTARA ambulans yang membawa keranda tiba di Pelabuhan Wijayapura untuk ke Pulau Nusakambangan.
AP

Cilicap, Indonesia: Beberapa buah ambulans yang membawa keranda tiba di penjara pulau Nusakambangan semalam manakala ahli keluarga pesalah dadah yang menunggu hukuman mati melawat mereka buat kali terakhir.

Pihak berkuasa Indonesia tetap menjalankan hukuman mati terhadap sembilan pesalah dadah itu yang terdiri daripada lapan warga asing walaupun terdapat bantahan antarabangsa.

Pemimpin asing masih melobi Indonesia supaya hukuman berkenaan dikurangkan selepas semua pesalah diberi notis 72 jam pada Ahad lalu bagi memberitahu bahawa mereka akan ditembak skuad penembak tepat.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga memberi pandangan bahawa kesalahan yang dilakukan pesalah berkenaan tidak cukup besar untuk dikenakan hukuman mati.

Kerajaan Indonesia masih belum mengesahkan waktu yang tepat bila hukuman berkenaan dilaksanakan.

Namun, dengan penghantaran keranda dan lawatan terakhir oleh ahli keluarga menunjukkan pesalah itu mungkin ditembak sejurus selepas tengah malam semalam.

Antara pesalah yang bakal berdepan hukuman mati itu, termasuk dua rakyat Australia, Myuran Sukumaran, 33, dan Andrew Chan, 31.

Kakak Sukumaran, Brintha dilihat meraung dan terpaksa dipapah ketika melalui sekumpulan petugas media yang menunggu di pelabuhan untuk ke pulau Nusakambangan.

Chan menerima kunjungan isterinya, Febyanti Herewila yang baru dikahwininya dalam satu majlis di penjara berkenaan kelmarin.

Sebanyak 12 ambulans dan sembilan daripadanya membawa keranda dilihat menaiki feri untuk ke pulau berkenaan.

Di cermin hadapan sebuah ambulans itu terdapat sekeping kertas yang tertulis nama Mary Jane Veloso, wanita Filipina yang turut akan dihukum mati.

Pada hujung minggu lalu, pihak berkuasa meminta semua pesalah termasuk empat warga Nigeria, seorang lelaki Brazil dan seorang rakyat Indonesia membuat permintaan terakhir mereka.

Peguam Negara Indonesia, Muhammad Prasetyo kelmarin berkata, seorang lagi pesalah warga Perancis, Serge Atlaoui tidak akan dihukum mati bersama kumpulan itu kerana masih menunggu keputusan rayuan di mahkamah.

Katanya, Atlaoui akan menjalani hukuman mati berseorangan sekiranya rayuannya ditolak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 9:58 AM