BERSAMA barisan artis visual dan kurator yang terbabit dalam projek Kisahku Kekuatanku.
BERSAMA barisan artis visual dan kurator yang terbabit dalam projek Kisahku Kekuatanku.
Oleh Ramlah Zainal


Jika pasangan lain masih dalam ‘mood’ bulan madu, pelakon dan pengacara terkenal Sarimah Ibrahim, 37, yang baru tiga minggu bergelar isteri nampaknya belum sempat bercuti kerana agenda seninya padat sampai sekarang.

Bagi personaliti berdarah kacukan Melayu-Ireland ini, status sebagai isteri kepada kerabat diraja bukan halangan baginya untuk meneruskan cabang seni yang sudah sebati dengan dirinya, sejak dulu.

Apa yang penting, dia perlu memastikan karier dan rumah tangganya bergerak seiringan.

“Terus terang, saya masih menyesuaikan diri dengan status isteri kepada Tunku Jamie dan belajar protokol golongan istana.

“Maklumlah, selama ini saya hanya hidup sendiri selepas mengalami kehancuran dalam rumah tangga pertama dulu dan baru sekarang kembali berumah tangga.

“Saya juga bahagia dengan kehidupan sekarang kerana hati yang kosong dulu sudah terisi. Hidup saya tidak sunyi lagi kerana sudah ada suami di sisi. Semoga rumah tangga yang dibina ini berkekalan hingga ke akhir hayat,”katanya.

Sarimah dan suaminya, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 43, atau Tunku Jamie selamat diijabkabulkan pada 2 April lalu.

Bukan saja menyesuaikan diri dengan status sebagai isteri, Sarimah juga sibuk membaca bahan berkaitan keibubapaan sebagai persediaan untuk membina keluarga nanti.

“Saya dan Tunku Jamie sudah lama hidup solo dan pastinya kami perlu membuat persediaan lengkap sebelum menerima kehadiran orang baru dalam hidup kami suami isteri sekali gus melengkapkan lagi rumah tangga sedia ada,” katanya.

Sarimah ditemui pada sidang media memperkenalkannya sebagai duta WCC untuk projek Kisahku Kekuatanku yang berlangsung di ibu kota, kelmarin.

Ditanya mengenai destinasi bulan madu pula, kata Sarimah, dia dan suami akan bercuti ke ke New York selama tiga minggu pada Jun nanti.

“Buat masa ini, saya perlu menyelesaikan semua komitmen kerja terlebih dulu. Antaranya, komitmen sebagai pengacara program Bella di saluran ntv7 dan terbaru sebagai duta WCC.

“Selain menjadi duta WCC, saya juga merancang membabitkan diri dalam lebih banyak program amal dan aktiviti kebajikan selepas ini,” katanya.

Ingin basmi keganasan terhadap wanita

Sebagai wanita yang bergelar isteri, Sarimah sangat memandang serius kes keganasan terhadap wanita yang dilaporkan di media cetak mahupun elektronik ketika ini.

Malah, Sarimah mengakui dia tidak berfikir dua kali apabila dilantik menjadi duta WCC yang khusus untuk membantu golongan wanita yang teraniaya terutama mangsa rogol dan keganasan rumah tangga.

“Saya juga ada kawan yang pernah menjadi mangsa keganasan suami sendiri. Justeru, saya sangat berharap mana-mana wanita yang menjadi mangsa keganasan supaya tampil ke depan dan buang perasaan malu itu demi menuntut hak mereka.

“Mungkin ramai wanita yang menjadi mangsa tidak tahu saluran yang betul untuk membela nasib mereka. Justeru, mereka boleh menghubungi talian WCC untuk mendapatkan bantuan dengan segera,” katanya.

Sempena ulang tahun ke-30, WCC juga melancarkan projek kreatif Kisahku, Kekuatanku : Coretan untuk perubahan apabila ia menggunakan seni coretan untuk menyampaikan mesej kepada wanita yang menjadi mangsa keganasan dalam kehidupan mereka.

Projek ini turut menampilkan 10 artis visual terkenal iaitu Noor Mahnun Mohamed, Minstrel Kuik, Chuah Shu Ruei, Tan Kong Yoke, Azliza Ayob dan kurator Ong Jo-Lene.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 10:26 AM