LELONGAN lukisan pada majlis itu.
LELONGAN lukisan pada majlis itu.
SARIMAH pada program amal anjuran WCC.
SARIMAH pada program amal anjuran WCC.
Oleh Ramlah Zainal


Jiwanya mudah tersentuh melihat penderitaan wanita yang menjadi mangsa penderaan dan keganasan rumah tangga seperti sering dilaporkan di media cetak mahupun elektronik.

Tidak hairanlah, penyanyi dan pengacara terkenal, Sarimah Ibrahim, 37, tidak berfikir dua kali apabila dilantik sebagai Duta Women Centre For Change (WCC) baru-baru ini.

Sesibuk manapun komitmennya sebagai isteri dan anak seni, Sarimah tetap meluangkan masa melaksanakan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat dengan menyertai program amal bersama WCC.

Walaupun masih dalam fasa berbulan madu, Sarimah dan suami turun padang menjayakan program amal lelongan lukisan oleh wanita yang menjadi mangsa penderaan domestik anjuran WCC di Pulau Pinang pada 29 Ogos lalu.

Secara peribadi, personaliti berdarah kacukan Melayu-Ireland ini mengakui sangat gembira kerana dapat memeriahkan acara terbabit.

“Program ini mempunyai misi mulia iaitu mendidik masyarakat agar memainkan peranan membantu wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan di rumah.

“Selain menjadi duta WCC, saya juga ingin membabitkan diri dengan lebih banyak program amal dan aktiviti kebajikan,” katanya.

Selepas berkahwin dengan Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 43, atau Tunku Jamie pada 2 April lalu, Sarimah menegaskan rumah tangga menjadi keutamaannya.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami bahagia. Kami baru kembali dari berbulan madu di New York selama tiga minggu.

“Selepas berkahwin, saya memperlahankan aktiviti seni. Suami tidak menghalang saya terus aktif asalkan tahu menyeimbangkan antara karier dan keluarga.

“Pada masa sama, saya sibuk memenuhi komitmen sebagai pengacara program Bella di saluran ntv7. Sebagai hos, saya ingin memastikan program ini mengupas pelbagai topik menarik terutama berkaitan wanita,” katanya.

Acara lelong lukisan capai sasaran

Selaku duta WCC, Sarimah gembira apabila acara lelongan amal yang diadakan itu mencapai sasaran.

Malah, pada pembukaan acara terbabit yang berlangsung di The Star Pitt Street, Pulau Pinang berjaya menarik perhatian orang ramai.

“Projek ini juga sangat bermakna kerana mangsa penderaan berkongsi kisah dan penderitaan mereka lalu dicoretkan menjadi lukisan oleh 10 artis visual.

“Diharap program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat untuk sama-sama membasmi kes penderaan dan keganasan rumah tangga di negara ini,” katanya.

Sempena ulang tahun ke-30, WCC turut melancarkan projek kreatif Kisahku, Kekuatanku: Coretan untuk perubahan yang menggunakan seni coretan untuk menyampaikan mesej kepadamangsa keganasan rumah tangga.

Projek ini menampilkan 10 artis visual terkenal termasuk Noor Mahnun Mohamed, Minstrel Kuik, Chuah Shu Ruei, Tan Kong Yoke, Azliza Ayob dan kurator Ong Jo-Lene.

Presiden WCC Lalitha Menon berkata, projek itu sebahagian aktiviti yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-30 organisasi terbabit.

Menerusi projek ini, WCC mengetengahkan mangsa penderaan dan keganasan yang sudi berkongsi penderitaan dan bagaimana mereka berjuang menghadapi masalah itu.

Artis visual terkenal, Noor Mahnun berkata, karyanya yang berjudul ‘Squid’ memaparkan refleksi seorang gadis yang menjadi mangsa rogol bapa tiri selama 14 tahun.

Seorang lagi artis visual, Bibi Chew dengan karyanya, The Greatest Love of All pula memaparkan penderitaan yang dihadapi mangsa dera sehinggalah berjaya membebaskan diri.

Maklumat lanjut acara ini boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.wccpenang.org atau www.facebook.com/wccpenang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 11:54 AM