Hafizh anggap perlumbaan di Sepang tidak mudah. FOTO NSTP
Hafizh anggap perlumbaan di Sepang tidak mudah. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah sedar penampilannya pada Grand Prix (GP) Malaysia hujung minggu ini jauh berbeza berbanding beberapa edisi sebelum ini.

Dengan jentera Red Bull KTM Tech 3 yang tidak begitu kompetitif, Hafizh mengakui tidak dapat menjanjikan apa-apa namun sokongan peminat menjadi kekuatan utamanya untuk cuba menamatkan perlumbaan di kedudukan paling baik.

"Ia adalah minggu yang sangat istimewa untuk saya. Memang kami agak bergelut sepanjang musim ini dan Sepang adalah perlumbaan kedua terakhir sebelum saya akan kembali ke Moto2.

"Perlumbaan minggu ini bukan mudah tetapi saya akan memberikan segala-galanya seperti ketika tahun lalu.

"Sama-sama kita saksikan apakah yang boleh dilakukan. Saya hanya mahu menikmati perlumbaan di tempat sendiri," katanya.

Hafizh mengakui kejayaan mengutip mata di GP Australia minggu lalu kembali memberi suntikan semangat kepadanya.

"Perkara utama yang dipelajari ialah kami perlu kompetitif sejak daripada awal perlumbaan lagi.

"Motivasi saya cukup tinggi dan tidak sabar untuk beraksi hujung minggu ini," katanya yang setakat ini baru mengutip lapan mata.

Hafizh sentiasa memperoleh keputusan positif di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan 10 terbaik sepanjang musim penuh Moto2 sekitar 2015 hingga 2017 dan di tempat ke-10 pada musim pertamanya dalam kelas MotoGP tahun lalu.

Dia juga pernah menaiki podium ketiga ketika beraksi menerusi tiket wild card dalam kelas Moto2 pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 5:53 PM