HAMILTON mengumpul 93 mata kategori pelumba.
HAMILTON mengumpul 93 mata kategori pelumba.
AFP

Manama: Juara dunia Lewis Hamilton mengatasi masalah brek sebelum menjuarai Grand Prix Bahrain awal pagi semalam bagi mengukuhkan kedudukannya dalam kejuaraan pemandu tahun ini.

Pemandu Britain berusia 30 tahun yang dipalit kontroversi selepas memercikkan wain ketika meraikan kemenangan di China seminggu sebelumnya, kali ini meraikan kemenangan dengan cara lebih sopan sekalipun dia masih basah begitu juga beberapa orang di sampingnya.

Kemenangan Hamilton hadir selepas pemanduan tanpa kesilapan untuk memenangi perlumbaan ketiga daripada empat saingan tahun ini sekali gus melebarkan pendahuluan kepada 27 mata di depan rakan sepasukan Mercedes, Nico Rosberg.

Memulakan perlumbaan dari petak utama bagi kali ke-42 dalam kariernya, Hamilton mendahului dari awal dan memasuki hentian pit dua kali sebelum merangkul kemenangan ke-36 kariernya.

Hamilton menamatkan perlumbaan 3.3 saat di depan pemandu Finland, Kimi Raikkonen dari Ferrari yang merampas kedudukan kedua daripada Rosberg apabila pemandu kedua Mercedes itu mengalami masalah brek pada dua pusingan terakhir.

Pemandu Jerman berusia 29 tahun itu dilihat mampu menangani cabaran lewat Raikkonen, namun kedua-dua jentera Mercedes rosak brek pada pusingan terakhir namun Hamilton berjaya mengatasinya untuk menang.

“Saya memburu kejuaraan ketiga,” kata Hamilton. “Ferrari memberikan saingan sengit kepada kami di sini dan sukar untuk melihat tayar di luar sana, tapi saya berjaya menanganinya dan kami perlu terus memberikan tekanan selepas ini.”

Bos pasukan Mercedes, Toto Wolff berkata: “Brek kedua-dua kereta rosak. Lewis rosak ketika pusingan terakhir.”

Kemenangan Hamilton membolehkannya mengumpul 93 mata dalam kejuaraan dunia, Rosberg dengan 66 mata di tangga kedua manakala Sebastian Vettel dari Ferrari ketiga dengan 65 mata.

Raikkonen yang meraih podium pertama buat Ferrari sejak Grand Prix Itali 2009 berkata: “Anda tidak pernah gembira apabila berakhir di tangga kedua, tapi selepas permulaan sukar tahun ini saya puas hati meraih keputusan ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 7:43 AM