Pelajar perempuan tingkatan satu maut dirempuh lori ketika melintas jalan. FOTO ihsan bomba
Pelajar perempuan tingkatan satu maut dirempuh lori ketika melintas jalan. FOTO ihsan bomba
Oleh Alias Abd Rani

Bau: Pelajar perempuan tingkatan satu maut manakala rakannya cedera selepas dirempuh lori ketika melintas jalan untuk pulang ke rumah di Kilometer 25, Jalan Bau-Kuching, dekat Siniawan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 9 pagi itu, Siti Norshahirah Mohd Syukri, 13, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Norjasmin Odin, 13, cedera di bahu dan menerima rawatan di Hospital Bau.

Kedua-dua mangsa adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paku, di sini, bersekolah sesi petang dan ketika kejadian, mereka baru pulang daripada aktiviti badan beruniform.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 1 Kuching Tiong Ling Hii berkata, kedua-dua mangsa turun dari bas dan melintas jalan dari depan bas sebelum sebuah lori memotong bas berkenaan lalu merempuh mereka.

"Rempuhan itu menyebabkan seorang daripada mangsa parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kami terima panggilan kecemasan pada 9.57 pagi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau ke tempat kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 2:36 PM