GAMBAR menunjukkan keadaan kereta Lamborghini selepas kemalangan, kelmarin.
GAMBAR menunjukkan keadaan kereta Lamborghini selepas kemalangan, kelmarin.

Beijing: Kemalangan beberapa kereta mewah termasuk sebuah Lamborghini dan Ferrari ketika sedang berlumba di sini pada Sabtu lalu mencetuskan kontroversi di China.

Kemalangan berkenaan berlaku pada hari pertama tayangan filem aksi Fast and the Furious 7 di negara itu.

Gambar kereta Lamborghini hijau dan Ferrari merah yang remuk bersama beberapa buah kereta mewah lain mula tersebar di Internet.

Polis berkata, kemalangan yang berlaku di sebuah terowong di sini itu menyebabkan seorang cedera.

Sebelum ini kemalangan membabitkan kereta Ferrari pada Mac 2012 menyebabkan anak kepada Ling Jihua, sekutu rapat kepada Presiden China ketika itu, Hu Jintao terbunuh.

Dua penumpang wanita, seorang daripada mereka berada dalam keadaan bogel cedera.

Kemalangan itu meningkatkan persepsi rakyat terhadap pegawai yang rasuah dan hidup mewah.

Sejak itu Jintao disiasat kerana rasuah dan dipecat daripada kerajaan.

Polis berkata, kemalangan kelmarin berlaku kira-kira jam 10 malam (waktu tempatan) ketika hujan lebat, kira-kira dua jam sebelum tayangan filem Fast and the Furious 7 bermula.

“Siapa nama mereka? Siapa bapa mereka?” kata seorang pengguna laman sosial Sina Weibo di China.

Portal berita Sina melaporkan, seorang pemandu yang terbabit dalam kemalangan berkenaan adalah pelajar.

Pihak polis turut dikritik hebat pengguna media sosial selepas merujuk kereta yang terbabit dalam kemalangan itu sebagai ‘kereta kecil yang membawa penumpang.’ - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:41 AM