London: Alexis Sanchez (kanan) bakal terlepas perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris selepas diberikan tempoh rehat lebih panjang ekoran pembabitannya bersama Chile pada saingan Copa America.

Pengurus Arsenal Arsene Wenger berkata, Sanchez akan kembali bersama kelab pada awal Ogos tetapi kemudian perlu mengambil masa untuk mengembalikan tahap kecergasannya semula.

Sanchez akan terlepas perlawanan Perisai Komuniti bertemu juara liga Chelsea di Wembley pada 2 Ogos serta perlawanan pembukaan menentang West Ham United minggu berikutnya.

Pemain itu menjaringkan gol penalti kemenangan untuk negaranya pada final Copa America bertemu Argentina pada 4 Julai lalu.

“Sanchez akan kembali bersama kelab pada 3 Ogos. Kebiasaannya ia mengambil masa seminggu untuk kembali cergas.

“Bermakna Sanchez akan terlepas perlawanan pertama,” kata Wenger.

“Dia sangat penting untuk kami selepas menunjukkan semangat tinggi untuk menang ketika mengambil sepakan penalti terakhir pada final Copa America menentang Argentina,” katanya lagi.

Pemain berusia 26 tahun itu begitu penting untuk Arsenal pada kempen musim lalu apabila membantu kelab mencatat keputusan memberangsangkan.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:04 AM