'Game' yang terdapat di konsol dan komputer mungkin lebih sesuai untuk pemain yang gemarkan konsep ekstrim. HAZRIL MDNOR akui anak muda yang mempunyai telefon pintar mempunyai cita rasa berlainan dalam faktor pemilihan 'game'.

Pada mulanya 'game' hanya dikenali melalui pelantar konsol dan juga komputer, tapi kini semua sudah berubah. Tahun 2012 menunjukkan dominasi aplikasi permainan di platform iOS dan Android apabila Candy Crush mula diperkenalkan. Permainan ini yang pernah memenangi 'Game of The Year' 2013 mempunyai grafik menarik dan sistem permainan yang sesuai untuk golongan muda.

Selain Candy Crush, aplikasi Fun Run 2 juga antara permainan popular dalam kalangan kita kini. Konsepnya mudah di mana pemain hanya perlu mengawal karakter comel dan berlari sehingga ke garisan penamat. Elemen lain yang menjadikan Fun Run 2 seronok ialah kebebasan pemain menggunakan kuasa istimewa untuk mengganggu pemain lain.

Badland antara permainan masa kini yang memfokuskan fungsi multiplayer di mana pemain perlu mengawal karakter berbentuk seakan-akan bola hitam dalam perjalanannya merentasi hutan yang penuh dengan cabaran. Permainan ini seronok kerana ia menyediakan fungsi multiplayer sehingga empat orang pemain. Pembentukan latar, karakter dan objek dalam 'game' ini juga antara satu sentuhan hebat daripada syarikat pengeluar.

Mungkin permainan video di konsol dan komputer lebih ekstrim dan 'fast-paced', namun bagaimana pula di peranti canggih lain? Gen Y mendekati lima anak muda untuk mendapatkan komen mereka mengenai permainan yang menawarkan fungsi multiplayer di telefon pintar.

Apa kata Gen Y

Wan Nur Amnir Nabila Wan Asmawi, 14

"Fun Run 2 bukan saja seronok, tapi juga kelakar, ditambah lagi dengan kehadiran rakan. Sebenarnya ramai orang kata 'game' ini sesuai dimainkan oleh lelaki, tapi bagi saya perempuan juga boleh turut serta kerana konsepnya yang mudah dan santai.

"Selain itu, karakter dalam 'game' ini juga comel dan boleh diubah suai mengikut kesukaan masing-masing. Pada masa yang sama, jika kita pandai menggunakan kuasa pada saat sesuai, boleh menang dengan mudah," katanya.

Nur Farah Yasmin Md Nor, 14

"Aplikasi permainan di telefon pintar memang sudah sebati dengan diri semua anak muda. Bagi saya, permainan Candy Crush lebih seronok dimainkan untuk membuang masa dan kurangkan tekanan akibat lambakan kerja sekolah yang banyak.

"Seronok apabila dapat bersaing dengan kawan-kawan yang lain. Selain itu, grafiknya menarik dan sistem permainannya juga mudah, sesuai dimainkan oleh setiap lapisan umur," katanya.

Nur Fadhilatul Akma Ahmad Fauzi, 14

"Walaupun Badland antara aplikasi yang agak lama diterbitkan, ia tetap popular dan seronok dimainkan bersama rakan-rakan. Saya mempunyai tablet di rumah dan selalu main 'game' ini dengan kawan jika kelapangan. Di peranti lebih besar, ia mudah dimainkan kerana paparannya lebih luas, mudah disentuh dan grafik lebih cantik.

"'Game' ini juga mempunyai banyak 'stage', bukan hanya untuk permainan perseorangan, tapi juga untuk sistem co-op. Mod permainan akan ditambah dari masa ke semasa membuatkan saya tidak pernah jemu menantikan 'update' terbaru," katanya.

|
Sharifah Farwah Ez-Zahra Syed Wahid, 14

"Bagi saya, Candy Crush lebih menguji minda kerana kita perlu sentiasa berhati-hati melakukan gerakan kerana ia terhad. Selain itu, kita juga perlu bijak menggabungkan gula-gula yang berlainan warna untuk mendapatkan kuasa istimewa. Pendek kata, 'game' ini mengajar kita untuk relaks dan bijak membuat pilihan.

"Namun, saya tetap rasakan tiga kali percubaan tidak cukup kerana ia boleh hilangkan keseronokan pada pemain baru. Makin lama bermain makin sukar permainan, jadi mungkin kita akan habiskan lebih banyak masa untuk melepasi 'stage' itu. Namun, ia sebenarnya bergantung pada individu membahagikan masa dengan betul," katanya.

Nur Aisha Mohd Asrizul, 14

"Badland tetap menjadi pilihan saya sampai sekarang kerana sistem multiplayer yang ditawarkan. Kalau orang lebih suka aplikasi ini dimainkan bersama kawan, saya lebih gemar mengajak keluarga saya mencuba permainan ini. Pendek kata, konsep 'game' ini lebih terarah pada hiburan satu keluarga.

"Sama juga seperti 'game' lain, ia sentiasa mempunyai mod dan 'stage' baru. Grafiknya yang menarik dan sistem kawalan mudah menyebabkan saya terus setia dengan aplikasi permainan ini walaupun terdapat banyak lagi permainan telefon pintar yang menawarkan fungsi multi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 9:25 AM