IBU kepada mangsa tragedi helikopter Koperal Razkan Seran, Subarah Jili, 69.
IBU kepada mangsa tragedi helikopter Koperal Razkan Seran, Subarah Jili, 69.
Oleh Junaidi Ladjana


Tuaran: Ibu kepada mangsa tragedi helikopter Koperal Razkan Seran, Subarah Jili, 69, berharap jenazah anaknya dikebumikan di kampung halamannya berdekatan dengan kubur arwah ayahnya di Kampung Saradan, Tuaran (Tenghilan).

Menurutnya, dia mahu melihat sendiri jenazah anaknya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Saradan.

"Saya mahu jenazah Razkan dikebumikan berdekatan dengan kubur arwah ayahnya," katanya ketika ditemui Harian Metro dirumahnya sebentar tadi.

Menceritakan lebih lanjut, dia mendapat berita kematian anaknya selepas dimaklumkan oleh ahli keluarga di Kuala Lumpur malam tadi.

"Selepas itu, isteri Razkan sendiri ada menghubungi anak saya yang bongsu memaklumkan Razkan meninggal dunia selepas helikopter dinaiki arwah bersama Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terhempas.

"Saya amat sedih kerana dia (Razkan) adalah harapan kami sekeluarga sejak pemergiaan arwah ayahnya," katanya sebak.

Tinjauan Harian Metro di kediaman arwah Razkan mendapati, penduduk kampung mula berkumpul sejak malam tadi untuk menanti ketibaan jenazah Razkan yang dijangka tiba lewat petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 1:08 PM