KEMPEN derma darah Hotel One World mendapat sambutan hangat.
KEMPEN derma darah Hotel One World mendapat sambutan hangat.

Hotel One World Petaling Jaya baru-baru ini mengadakan kempen menderma darah sebagai sebahagian daripada komitmen sokongan untuk masyarakat tahunannya dengan kerjasama Pusat Darah Negara.

Kempen yang diadakan di hotel berkenaan bermula jam 11 pagi dan berakhir pada jam 4 petang itu turut menyaksikan jumlah kehadiran yang luar biasa daripada syarikat bersekutu Hotel One World.

Seramai 70 penderma sukarela dalam kempen menderma darah diketuai oleh Pengurus Sumber Manusianya Wan Rohaida Wan Mohammad. Setiap penderma juga berpeluang berbincang mengenai keadaan kesihatan mereka semasa pendaftaran.

Sampel darah juga diambil untuk menentukan peserta yang kelayakan manakala penderma yang tidak memenuhi kriteria umum untuk menderma darah dibatalkan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang mengambil cuti untuk menyokong acara ini dan yang paling penting mereka menawarkan diri untuk menyelamatkan nyawa insan lain. Saya percaya kempen ini pasti membantu masalah kekurangan bekalan darah di hospital seluruh negara akibat bencana banjir di pantai timur dan juga wabak demam denggi, baru-baru ini.

“Oleh kerana sambutan yang menggalakkan daripada kakitangan dan juga salah satu cara yang paling mudah untuk memberi kembali kepada masyarakat, kami merancang untuk mengadakan acara ini dua kali setahun berbanding hanya sekali setahun sebelum ini, “ katanya.

Semua penderma turut diberikan makanan ri­ngan dan minuman untuk menambah tenaga mereka selepas proses menderma darah. Sebagai tanda penghargaan, sijil pe­nyertaan oleh Kementerian Kesihatan dan Pusat Darah Negara Malaysia turut diberikan kepada semua peserta.

Wan Rohaida berkata, kempen derma darah anjuran hotel itu sememangnya satu kejayaan besar dan ia memberikan mereka peluang untuk mendidik orang ramai serta untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya darah yang didermakan terutamanya dalam membantu dalam menyelamatkan nyawa seseorang.

Sementara itu, seorang penderma, Susan Cheong yang juga penderma kali pertama berkata, dia sentiasa mahu menderma darah berasa lega dan gembira kerana akhirnya menemui keberanian untuk berbuat demikian tahun ini.

“Saya berharap agar dapat terus menderma selama yang saya mampu kerana saya menyedari dengan berbuat demikian saya dapat membantu mereka yang memerlukan bekalan darah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:07 AM