Faliqah Alia Radin Mohd


PUSAT Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akan memastikan penderma darah bebas daripada virus koronavirus baharu (Covid-19).

Pegawai Perubatan Sarjana PPUM Dr Praveena Sharmugam berkata, pihaknya akan memeriksa suhu badan setiap penderma bagi memastikan mereka tidak mengalami demam, batuk, sakit tekak, sukar bernafas atau selsema.

“Penderma tidak perlu takut dengan penyebaran virus yang sedang melanda negara kerana kami mengambil langkah berjaga-jaga terhadap penderma yang baru pulang dari negara China,” katanya ketika ditemui pada program Kempen Derma Darah anjuran PPUM dengan kerjasama Media Prima, di Kuala Lumpur, hari ini.

Kakitangan Media Prima menderma darah dalam Kempen Derma Darah PPUM di NSTP Bangsar. FOTO Mustaffa Kamal
Kakitangan Media Prima menderma darah dalam Kempen Derma Darah PPUM di NSTP Bangsar. FOTO Mustaffa Kamal

Praveena berkata, pihaknya menyarankan supaya golongan wanita menjadi penderma darah.

“Kebanyakan wanita berpendapat bahawa darah mereka mungkin tidak menepati kriteria atas alasan tertentu seperti datang bulan serta penyusuan susu ibu.

“Perkara ini sekali gus menyebabkan kadar penderma darah dalam kalangan wanita kurang berbanding lelaki,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada penderma darah Syaza Fahzlin, 28, berkata, menderma darah tidak memberi kesan sampingan kepadanya.

“Ini kali pertama saya menderma darah. Bagi saya menderma darah tidak memberi keburukan kepada saya jadi kenapa tidak menderma untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 4:46 PM