Saya memiliki Perodua Kancil transmisi manual. Jika tali sawat ‘compressor’ (pemampat) penyaman udara terputus, adakah berbahaya jika saya terus memandunya? Saya memandunya tanpa menghidupkan penyaman udara.

INGIN TAHU, Selangor

Bagi kereta yang menggunakan tali sawat berasingan seperti Perodua Kancil, tidak menjadi masalah jika ia terputus.

Ini kerana tali sawat itu hanya berfungsi memutar takal pemampat penyaman udara. Jika anda mematikan penyaman udara, klac magnetiknya berada di belakang takal tidak melekap dan hanya berpusing bebas.

Operasi rangkaian kuasa tidak terganggu kecuali tali sawat yang putus itu terbelit di takal utama enjin. Oleh itu, tali sawat perlu kerap diperiksa supaya berada dalam ketegangan yang tepat.

Jika longgar, anda akan mendengar bunyi bising ketika memecut secara mendadak. Jika tali sawat kendur lebih daripada 0.5 inci apabila menekannya, anda hanya perlu melaraskannya.

Jika kelihatan berkilat atau seperti berminyak, permukaan licin akan tergelincir sekitar takal dan tidak mampu berfungsi dengan cekap. Bagi tali sawat yang bermasalah untuk memutar kipas dan pam air, enjin anda mungkin menjadi panas.

Jika anda melihat ketulan hilang dari tali sawat, lusuh atau terkoyak, takal mungkin lari dari penjajaran. Langkah paling selamat adalah memeriksa penjajaran dan menggantikan tali sawat anda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:04 AM