Kenapa kereta saya bergegar ketika menghidupkan penyaman udara? Malah, ia berbau seperti asap membakar sampah.

MUHAMAD SYUKUR

Kuala Lumpur

Enjin akan bergegar ketika menghidupkan penyaman udara kerana pemampat atau ‘compressor’ akan menambah beban pada rangkaian kuasa itu.

Lazimnya, ada satu suis diaktifkan apabila menghidupkan penyaman udara.

Suis itu akan menghubungkan satu penolak yang melaraskan pendikit menggunakan vakum enjin bagi meningkatkan pendikit bersesuaian dengan bebanan berkenaan.

Penolak itu boleh dilaras dan enjin sepatutnya beroperasi ­antara 1,000 sehingga 1,100 rpm untuk menangani bebanan pemampat penyaman udara terbabit.

Penyaman udara yang berbau mungkin berpunca daripada habuk atau kulat yang terbentuk pada sirip gegelung penyejuk.

Ia tidak berbahaya, namun anda disaran melakukan servis untuk membersihkan sirip gegelung penyejuk dan seluruh sistem penyaman udara secara berkala setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:00 AM