Paris: Bintang Argentina, Erik Lamela menjaringkan satu gol menakjubkan manakala Harry Kane melakar hatrik sebelum menjaga pintu gol ketika Tottenham membenam Asteras Tripolis, 5-1 pada kempen Liga Europa, awal pagi semalam.

Lamela, 22, yang sukar menyesuaikan diri di White Hart Lane sejak berpindah dari AS Roma, hanya menyumbat satu gol buat Spurs sebelum ini, namun dia berjaya melupakan kekecewaan itu dengan penuh bergaya.

Selepas Kane meletakkan kelab London itu di depan, Lamela menemui sasaran dari jarak 18 meter dengan gol ‘rabona’ mengagumkan apabila menyilangkan kaki kiri dan kanan sebelum menyungkit bola ke penjuru gol.

Lamela kemudian menambah gol selepas rehat dengan Kane menampan masuk dari jarak dekat sebelum melengkapkan hatriknya dengan tandukan sekali gus menyaksikan Tottenham menyertai Besiktas, yang membelasah Partizan Belgrade 4-0, di persada Kumpulan C.

Kane kini menjaringkan tujuh gol pada pertandingan itu, namun aksinya tidak terhenti di situ apabila terpaksa mengambil alih mengawal pintu gol lima minit sebelum tamat selepas penjaga gol Hugo Lloris dibuang padang kerana mengasari Anastosios Tsokanis.

“Ia malam yang hebat hinggalah saya terpaksa mengawal tiang gol,” ujar Kane.

Everton kekal di tangga teratas Kumpulan F selepas seri 0-0 dengan Lille sehari selepas kekecohan antara penyokong dan polis menjelang perlawanan di pusat bandar Perancis itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:04 AM