LAMELA (kiri) percaya tugas jaringkan gol bukan hanya terletak di bahu Kane. -Foto Reuters
LAMELA (kiri) percaya tugas jaringkan gol bukan hanya terletak di bahu Kane. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Harry Kane bukan ‘mesin’ dan pada bila-bila masa saja penyerang England itu boleh meraih semula sentuhan golnya, kata rakan sepasukan di Tottenham Erik Lamela.

Kapten England itu mengharungi satu lagi perlawanan mengecewakan apabila Spurs tewas 1-2 kepada Inter Milan dalam kancah Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Sehingga kini, Kane sudah mengharungi lima perlawanan untuk kelab dan negara tanpa meledak sebarang gol dan sekali pun dia melepaskan peluang terbaik di San Siro, Lamela menegaskan tugas memburu gol untuk Spurs bukan di bahunya seorang.

“Harry bukannya mesin. Dia banyak menjaringkan gol. Dia sentiasa menjaringkan gol,” kata Lamela memetik media British, hari ini.

“Di sini dia tidak melakukannya, dan juga mungkin dalam dua atau tiga perlawanan. Tetapi dia akan kembali menjaringkan gol. Ia bukannya seperti hanya Harry perlu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

“Christian (Eriksen) menjaringkan gol, saya juga menjaringkan gol pada perlawanan terakhir. Sonny (Son Heung-min) juga akan menjaringkan gol. Lucas (Moura) juga. Semua tekanan tidak dibebankan ke atas Harry.

“Semua pemain di posisi menyerang perlu menjaringkan gol.”

Lamela berkata Tottenham tidak berdepan krisis keyakinan sekali pun kekalahan kepada Inter bermakna kelab itu sudah mengharungi tiga kekalahan berturut-turut di bawah kendalian Mauricio Pochettino.

“Saya tidak fikir kami hilang keyakinan,” katanya. “Kami mempercayai satu sama lain dalam pasukan ini. Itulah sebab mengapa kami sentiasa berjuang sehingga penghujung musim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 9:30 PM