ANTARA spesies rama-rama di TRRM.
ANTARA spesies rama-rama di TRRM.
Oleh Nor Shafinaz Sari


Kamus Dewan edisi ketiga mendefinasikan serangga sebagai binatang kecil yang badannya mempunyai tiga ruas dan enam kaki. Dari segi istilah biologi, serangga bermaksud haiwan yang mempunyai enam segmen kaki semasa dewasa dan bahagian badannya dibahagikan kepada tiga bahagian.

Haiwan itu mempunyai antena dan kebanyakannya mempunyai dua pasang sayap. Serangga akan meng­alami perubahan ketika tumbesarannya.

Kajian saintis entomologis (sains berkaitan serang­ga) sehingga kini terdapat 33 kumpulan serangga yang dikenal pasti dan jutaan serangga lagi yang belum dikenal pasti.

Setiap kumpulan serang­ga mempunyai perbezaan dan keunikan tersendiri. Serangga mempunyai kitar hidup yang dikenali sebagai metamorfosis.

Metamorfosis adalah proses biologi yang berlaku dalam kitaran hidup sesuatu organisma dan mengalami perubahan sepenuhnya bentuk fizikal dan lain-lain.

Seekor rama-rama boleh bertelur 200 biji dan daripada sebiji telur kecil, lahir seekor ulat bulu.

Ulat bulu ini mempu­nyai nafsu makan yang menakjubkan selama dua atau tiga minggu.

Kemudian, ulat bulu itu mencari tempat untuk bergayut. Ini menandakan bermulanya satu lagi kejadian hidup rama-rama.

Ulat bulu itu akan menjadi seekor kepompong atau pupa. Kepak dan kaki­nya akan terbentuk hingga akhirnya membentuk rama-rama

Keunikan serangga itu menarik minat Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka (TRRM) Ayer Keroh, Melaka membiakkan 40 spesies rama-rama yang kebanyakannya sukar ditemui di negara ini.

Eksekutif Makmal dan Hidupan Liar TRRM Norasyikin Zainudin berkata, antara spesies rama-rama yang sukar ditemui dan dibiakkan adalah Malay Lacewing.

“Kami menjalankan penyelidikan terhadap pokok perumah (Adenia Macropylla) serta sumber madu dan berjaya menjadikan TRRM sebagai habitat baru rama-rama jenis ini selain habitat sebenarnya di hutan.

“Kami membiakkan 5,000 rama-rama jenis ini,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Pemasaran TRRM Idayu Md Asin berkata, taman itu menyasarkan kehadiran 300,000 pengunjung sehingga akhir tahun ini berbanding 200,000 pengunjung tahun lalu.

“Pengunjung berpeluang melalui pengalaman luar biasa yang mana mereka boleh melihat sendiri spesies rama-rama tercantik dan terunik di dunia.

“TRRM juga adalah antara destinasi menarik bagi pengantin merakam saat manis ketika mengadakan sesi penggambaran,” katanya.

Beliau berkata, sempena kejayaan pembiakan rama-rama, TRRM akan memberi potongan harga tiket kepada pengunjung yang memakai pakaian berunsur batik.

“TRRM akan memberi potongan harga tiket sebanyak 30 peratus kepada pengunjung yang membawa bersama keratan akhbar menyiarkan mengenai TRRM. Usaha ini diambil bagi memperkenalkan lagi TRRM kepada pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 12:47 PM