LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Jabatan Pertanian mengesahkan berlakunya serangan serangga Rama Rama Jati atau dikenali dalam kalangan penduduk sebagai ulat bulu hitam di kawasan Kampung Tepi Laut Mukim Tebengau, Kuala Kedah Kedah, baru-baru ini.

Agensi itu dalam kenyataannya berkata, pihak jabatan melalui Bahagian Biosekuriti Tumbuhan (BBT) sudah melakukan siasatan penuh di kawasan seluas kira-kira 20 hektar terbabit bagi mengesan punca kejadian.

Katanya, hasil dianostik mendapati ulat tersebut memakan daun pokok api-api yang tumbuh sekitar pesisir pantai dan menyebabkan serangan pada bahagian daun hingga menyebabkan tanaman itu tidak dapat melakukan proses fotosintesis serta mati.

"Berdasarkan maklumat, serangan ini pernah berlaku dan berulang di kawasan sama pada 27 November 2016 yang mengakibatkan radang pada kulit sekiranya berlaku sentuhan atau terkena cecair ulat terbabit.

"Merujuk pada data yang diambil dari serangan yang lalu, ulat ini dikenali sebagai Hyblaea puera (Carmer, 1777) dari Order Lepidoptera dan Keluarga Hyblaeidae atau nama biasanya Rama-Rama Jati (Teak Defoliator)," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, haiwan ini adalah serangga yang terdapat di kawasan tropika dan hidup secara semula jadi di kawasan hutan dan paya bakau dengan kitaran Rama-Rama Jati dari telur hingga dewasa mengambil masa antara 18 hingga 36 hari.

Katanya, kitaran ini bergantung kepada keadaan cuaca dan kedapatan sumber makanan dengan serangga ini adalah haiwan perosak.

"Ulat Bulu Hitam atau Rama-Rama Jati ini adalah serangga perosak utama pokok jati dan ia juga perosak minor kepada lebih 45 jenis tumbuhan yang kebanyakannya adalah pokok hutan atau paya bakau termasuk pokok api-api yang terdapat di persisiran laut berhampiran kampung itu.

"Serangan perosak ini kerap dilaporkan menyerang kawasan tanaman jati selain tumbuhan hutan di negara Asia Tenggara, India, Mexico Bangladesh, China, Amerika Tengah, Afrika, Australia dan kepulauan Caribbean," katanya.

Berikutan itu katanya, orang ramai dinasihatkan berwaspada dan berhati-hati dengan ancaman ulat berkenaan yang kini dalam fasa pengawalan.

Minggu lalu, penduduk Kampung Tebengau Tepi Laut sekali lagi, dikejutkan dengan kejadian 'serangan' ribuan ulat bulu yang muncul di sepanjang pesisir pantai kawasan selepas ia pertama kali berlaku pada 2016.

Ulat berwarna hitam itu muncul dengan memakan daun pokok api-api yang tumbuh sekitar kawasan pesisir pantai sehingga menyebabkan banyak tumbuhan dan pokok mati.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 2:44 PM