SHARNAAZ Ahmad dan Nelydia Senrose menang kategori Hero dan Heroin Pilihan.
SHARNAAZ Ahmad dan Nelydia Senrose menang kategori Hero dan Heroin Pilihan.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Sejarah tercipta lagi pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL2015) edisi kedua anjuran TV3 dan TV9 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), malam kelmarin apabila drama bersiri popular Rindu Awak 200% mengungguli empat kategori utama.

Drama arahan Aidilfitri Mohamed Yunos itu merang–kul kategori Drama Pilihan, Pelakon Lelaki Drama Pilihan, Pengarah Drama Pilihan dan Penulis Skrip Pilihan.

Seperti dijangka, pelakon popular Zul Ariffin mengungguli kategori Pelakon Lelaki Drama Pilihan menewaskan pencabar lain yang tidak kurang hebatnya seperti Sharnaaz Ahmad (Setitis Kasih Darmia), Aiman Hakim (Selamat Pengantin Madu), Shukri Yahya (Menjinak Ombak) dan Aeril Zafrel (Cerita Cinta Kita).

Bagaimanapun, gandingannya dalam drama yang mencipta fenomena itu, Ayda Jebat terpaksa akur apabila tewas di tangan Amyra Rosli dalam kategori Pelakon Wanita Drama Pilihan yang menyerlah menerusi Kristal Maya.

Satu kejutan apabila Amyra turut menewaskan nama-nama besar lain seperti Fasha Sandha (Selamat Pengantin Madu), Nelydia Senrose (Setitis Kasih Darmia) dan Nur Risteena (Menjinak Ombak).

Disiarkan secara langsung di TV3, Anugerah DFKL diwujudkan bagi mengiktiraf drama Melayu yang disiarkan menerusi slot drama di TV3 dan TV9.

Pemenang ditentukan hasil undian peminat melalui pemilihan drama yang mempunyai tontonan paling tinggi di slot Akasia, Samarinda, Lestary, Aksi, Ratu, Azalea, Zehra, Aurora dan 9X.

Respons yang ditunjukkan pada penganjuran sulung tahun lalu sangat menggalakkan apabila siaran langsung yang dipancarkan dari Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, mendapat tontonan sebanyak 2.2 juta penonton.

Lebih daripada itu, Anugerah DFKL turut membuka ruang kepada anak muda menunjukkan kreativiti dalam menghasilkan filem pendek mengikut citarasa mereka sendiri melalui anugerah khas iaitu Drama Pendek Pilihan.

Pertandingan drama pendek ini dibuka kepada semua rakyat Malaysia bermula 1 November 2014 hingga 8 Februari lalu menerusi laman web www.veedo.my.

Pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM18,000 itu menerima penyertaan yang amat memberangsangkan daripada orang awam. Drama pendek yang menerima undian tertinggi mara ke peringkat akhir di mana akan dinilai dan diadili oleh juri-juri profesional.

Tuah memihak kepada drama Luahan Abah arahan Muhamad Haizad Hashim, yang memenangi kategori ini, tempat kedua oleh Telefon Pintar (Mohamad Al Hafiz Burhanuddin) dan tempat ketiga oleh Azmir Nak Jadi Produser (Mohd Faliq Mohd Sharif).

Drama yang menang turut berpeluang untuk disiarkan di TV3 dan TV9 sebagaimana pemenang DFKL pertama, Singh Susu karya Azmir Affandi yang ditayangkan di TV3 sempena Hari Kemerdekaan tahun lalu.

Pertama selepas 10 tahun

Pengarah, Aidilfitri Mohamed Yunos ketika ditemui berkata, dia tidak sangka akan menang kerana saingan daripada drama lain tidak kurang hebatnya.

“Ini kemenangan pertama sejak saya menceburi bidang seni lebih 10 tahun lalu ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus berkarya. Drama ini juga menjadi penanda aras baru selepas drama saya, Aku Ada Wali mendapat tontonan tertinggi di TV AlHijrah.

“Tak dinafikan saya turut berdepan cabaran untuk menghasilkan drama Rindu Awak 200%. Saya berani ambil Ayda kerana nampak seperti permata yang belum digilap. Zul pula pernah bekerja dengan saya dalam Janji Adam.

“Untuk kekalkan momentum cerita, skrip yang ada perlu bagus. Ketika bekerja, skrip dan novel tak pernah lekang di tangan saya kerana saya tak nak jalan ceritanya terlalu lari.

“Untuk pelakon pula, saya bagi kebebasan sepenuhnya kepada mereka untuk buat pergerakan tubuh dan karakter sendiri agar cerita ini lebih menarik,” katanya.

Zul bantu drama

Zul Ariffin juga tidak menyangka menang kerana matlamatnya hanya untuk membantu drama ini mendapat perhatian peminat.

“Alhamdulillah, memang saya sasarkan matlamat nak bantu drama ini tercalon dalam DFKL. Namun, tak sangka pula drama ini tercalon dalam banyak kategori dan apabila menang ia adalah satu bonus.

“Sebenarnya, apabila sampai ke tahap Top 5 pun, ia dikira dah bagus. Drama ini menampilkan sebuah cerita yang bagus. Ia bawa saya ke satu tahap yang lain dalam karier.

“Ke mana-mana pergi pun orang suka saya dan ia bawa satu aura positif. Bagaimanapun dalam masa sama, ia buat saya susah untuk tukar kepada watak lain selepas ini. Niat itu memang ada, tapi buat masa ini saya kena bertahan dulu dengan apa yang ada,” katanya.

Karakter sesuai diri Amyra

Amyra pula terharu dengan kemenangannya dan berterima kasih dengan peminat yang memilihnya sebagai pemenang.

“Saya serahkan segala undian kepada peminat yang menubuhkan kelab peminat saya kerana ketika DFKL sedang bermula, saya sibuk dengan penggambaran drama.

“Bahkan saya datang malam ini pun hanya untuk menyokong DFKL serta tanda terima kasih kepada ahli kelab peminat saya yang hadir. Jadi, memang tak sangka dan terkejut sangat apabila diumumkan sebagai pemenang.

“Keistimewaan cerita ini ialah karakternya yang kena dengan diri saya. Ia bukanlah mencabar sangat tapi yang bagusnya ia seakan saya jadi diri sendiri,” katanya.

Naskhah bagus

Kategori Hero & Heroin Pilihan pula mengangkat Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose sebagai pemenang menerusi Setitis Kasih Darmia dan kategori Barisan Pelakon Pilihan mengiktiraf Fasha Sandha, Aiman Hakim, Eina Azman, Kuza, Falisha Crossley dan Ieda Moin sebagai pemenang menerusi drama Selamat Pengantin Madu.

Fasha yang gembira dengan kemenangan yang diraih berkata, ia dicapai menerusi kerja berpasukan yang jitu.

“Ini semua hasil kerja pengundi. Kami datang sekadar untuk bersuka-suka beri sokongan kepada DFKL. Namun, tak dinafikan drama ini sebuah naskhah yang bagus. Paling penting ialah semua pelakonnya sangat berdisiplin dan bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Anugerah DFKL dihoskan AG Hot FM dan Yana Samsudin serta mendapat tajaan penaja bersama Kotex dan Nin Jiom.

Hadir menghiburkan penonton ialah penari rancangan realiti Showdown, Fathia Latiff, Aiman Hakim, Najwa Latif, Sham Kamarul, Azmir, Sarah Mentor Legend dan Black Mentor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 2:06 PM