Oleh Michelle Gun


Selepas Pulau Pinang, Jelajah Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) akan ke lokasi kedua di Plaza Angsana Johor Bahru, esok.

Acara anjuran TV3 itu akan dimeriahkan dengan kehadiran barisan bintang yang dicalonkan dalam ASK 2015 antaranya Siti Saleha, Azwan Kombos, Raja Ilya, Amyra Rosli, Adiba Yunus, Jue Aziz, Nazrief Nazri, Bil Azali, Syafiq Kyle dan Izzue Islam.

Selain itu, Maryam Nona Manis selaku hos jelajah ASK 2015 akan membuat penampilan khas di gerai Cerekarama dan Lyanaz Beauty Care mulai jam 11 pagi hingga 2.30 petang esok.

Lebih menarik, seramai 10 pengunjung bertuah berpeluang menghadiri majlis Makan Malam Eksklusif Bersama Bintang ASK 2015 pada malam jelajah itu dengan menyertai cabaran di gerai Cerakarama dan Lyanaz Beauty Care.

Istimewanya, bintang ASK 2015 juga akan menyumbang barangan peribadi mereka untuk dijual dalam acara lelong dan hasil jualan akan disalurkan kepada Tabung TV3 Bersamamu.

Jelajah itu bersempena malam kemuncak ASK 2015 yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 8 November ini.

Sebelum Johor Bahru, lokasi pertama Jelajah ASK 2015 diadakan di tapak Karnival Jom Heboh Pulau Pinang pada 3 Oktober lalu dan dimeriahkan dengan barisan artis popular seperti Ammar Alfian, Nisha Dirr, Mimi Ernida, Lan Siro, Sabhi Sadhi, Idris Khan dan Atikah Suhaime.

ASK yang diperkenalkan pada 1994 bertujuan memberi pengiktirafan kepada pengeluar filem dan produksi televisyen tempatan. Tahun ini, ASK 2015 mempertandingkan 31 kategori yang meliputi drama, filem, penerbitan dan teknikal.

Kategori Anugerah Drama Bersiri Terbaik di Laman Sosial yang diperkenalkan pada tahun lalu kini dikenali sebagai Anugerah Drama Rantaian Popular Media Sosial.

Kategori itu membariskan drama popular Rindu Awak 200%, Setitis Kasih Darmia dan Tentang Hati. Pemenang kategori itu akan ditentukan berdasarkan jumlah undian pengguna Twitter dan Instagram sehingga 5 November ini.

Bagi mengundi, pembaca perlu meletakkan hashtag drama pilihan anda iaitu #rinduawak200peratus, #setitiskasihdarmia atau #tentanghati berserta dengan #ask2015.

Akaun pengguna Twitter atau Instagram perlu ditetapkan untuk tatapan umum dan bukan peribadi untuk proses pengiraan undi.

Selain itu, ASK 2015 turut dimeriahkan dengan peraduan #ImpianASK anjuran penaja Babies Blinks Gold di Instagram yang menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM10,000 dan tiket VIP ASK 2015 kepada pemenang.

Cara memenangi hadiah itu mudah dengan mengikut laman Instagram @impianask dan memuat naik gambar ‘selfie’ bersama produk Babies Blinks Gold.

Gambar dan slogan paling kreatif dengan hashtag #impianask dan #ask2015 akan dipilih sebagai pemenang. Peraduan ini berlangsung sehingga esok.

Maklumat lanjut mengenai ASK 2015 boleh layari laman web www.tv3.com.my dan www.anugerahskrin.com.

Peluang mengiringi Yana Samsudin dan Syafiq Kyle di malam ASK 2015.

Seorang peminat lelaki dan wanita bertuah berpeluang menemani Yana Samsudin dan Syafiq Kyle untuk hadir ke malam kemuncak ASK 2015.

Dua pemenang itu akan menerima layanan istimewa untuk menghadiri acara karpet merah bersama kedua-dua selebriti itu.

Pembaca hanya perlu melakonkan semula satu babak dalam salah sebuah drama bersiri dalam kategori Anugerah Drama Rantaian Popular Media Sosial dan memuatnaik video itu dengan menggunakan hashtag #CabaranASK2015 di Instagram.

Ikuti laman Instagram kedua-dua artis itu, @yanasamsudin dan @the­syafiqkyle untuk perkembangan terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 10:41 AM