Kuala Lumpur: 1MDB Real Estate dan Lend Lease, syarikat berpangkalan di Australia memeterai perkongsian untuk membangunkan segmen gaya hidup Lifestyle Quarter di Tun Razak Exchange (TRX) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) diunjurkan sebanyak RM8 bilion apabila siap kelak.

1MDB Real Estate adalah pemaju induk TRX akan menguasai 40 peratus daripada perkongsian itu dan bakinya oleh Lend Lease.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Real Estate Datuk Azmar Talib berkata, dengan termeterainya perkongsian Lifestyle Quarter ini, 1MDB Real Estate akan memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf infrastruktur utama bagi TRX dan kawasan Imbi.

Azmar berkata TRX berjaya memainkan peranan sebagai pemangkin dalam menarik komitmen pelaburan langsung asing (FDI) ke daerah kewangan utama Malaysia itu.

“Kami dengan bangganya mengumumkan pelaburan sulung dalam TRX bersama-sama Lend Lease, rakan kongsi antarabangsa yang kukuh dan bereputasi baik. Kami akan mengumumkan lebih banyak komitmen daripada pelabur utama tempatan dan antarabangsa pada bulan-bulan mendatang,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini semalam.

Majlis menandatangani itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Kedua-dua pihak sudah menandatangani perjanjian rangka kerja induk pada Oktober lalu.

Segmen gaya hidup yang akan mendukung wawasan TRX untuk muncul sebagai hab kewangan dan perniagaan antarabangsa adalah pembangunan bercampur diteraju oleh sektor runcit dan akan dimajukan di atas kawasan seluas lebih 17 ekar (6.8 hektar).

Ia merangkumi kompleks beli-belah, beberapa blok kediaman bertingkat tinggi dan sebuah hotel yang akan bersambung dengan sebuah taman pelbagai lapisan di tengah serta stesen MRT terbesar di Kuala Lumpur.

Sementara CEO Lend Lease bagi Asia, Rod Leaver berkata, pihaknya yakin dapat menjadikan segmen gaya hidup TRX ini sebagai satu kejayaan cemerlang bersama-sama rakan kongsinya.

Lend Lease adalah kumpulan firma hartanah antarabangsa menawarkan perkhidmatan merangkumi pengurusan pelaburan, pembangunan, pembinaan, pengurusan projek serta pengurusan aset dan hartanah.

Antara projek pembangunan semula bandar yang utama oleh Lend Lease ialah Barangaroo South dan Darling Harbour Live di Sydney, Australia, serta The International Quarter dan Elephant & Castle di London, United Kingdom.

Lend Lease juga pernah terbabit dalam beberapa projek penting di Malaysia antaranya Menara Kembar Petronas, Setia City Mall dan yang terbaharu Pinewood Iskandar Malaysia Studios.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:13 AM