Kuala Lumpur: AIA Bhd optimis mencapai pertumbuhan kukuh bagi segmen insurans hayatnya pada tahun ini berikutan kejayaannya mencapai peningkatan keseluruhan sebanyak 34 peratus kepada RM590 juta dalam nilai perniagaan baru (VONB) bagi tahun berakhir 30 November 2014.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bill Lisle berkata, prestasi kukuh itu juga meletakkan AIA Bhd sebagai pasaran pertumbuhan kedua terbesar kumpulan mengikut terma VONB di Asia Pasifik.

Katanya, keuntungan operasi selepas cukai turut meningkat sebanyak 12 peratus kepada RM1.02 bilion dan syarikat juga membayar lebih 4.2 juta tuntutan individu bagi tahun lalu.

“Keputusan ini sebagai petunjuk jelas strategi tranformasi perniagaan kami dan kemajuan signifikan yang dicapai beberapa tahun dalam merapatkan jurang luas yang wujud antara perlindungan dan simpanan di Malaysia.

“Kami yakin banyak lagi peluang utama dalam industri insurans hayat di negara ini yang boleh dicapai dan tahun ini, kami akan meningkatkan usaha memperluas rangkaian penagihan melalui perekrutan aktif perancang hayat sepenuh masa dan mengukuhkan perkongsian bank,” katanya pada sidang media sempena pengumuman keputusan tahun kewangan 2014 AIA Bhd di sini, semalam.

Menurutnya, AIA Bhd juga dalam perancangan untuk memperluaskan perniagaan Takaful AIA yang akan disokong oleh pelancaran penyelesaian syariah baru bagi meneroka peluang pertumbuhan yang besar dalam takaful keluarga yang mana kadar penembusan hanya 15 peratus sekarang.

Lisle berkata, setakat ini AIA Bhd mempunyai lebih kurang tiga juta pemegang polisi insuransnya dan komited untuk memperkenalkan produk serta perkhidmatan berkualiti dan memenuhi keperluan perlindungan orang ramai.

Beliau berkata, bagi meningkatkan penawaran produk pula, AIA Bhd melancarkan siri rider baru yang boleh dilampirkan dengan pelan asas untuk meningkatkan perlindungan dan faedah yang disesuaikan dengan keperluan segmen pasaran berbeza iaitu wanita, remaja, keluarga muda dan matang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:16 AM