Oleh Norhayati Nordin


Kalau sebelum ini kehadiran Krisdayanti ke Istana Budaya(IB) sekadar tetamu menyaksikan persembahan rakan baiknya Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, kini tiba pula peluang untuk dia beraksi.

Pada malam Jumaat dan Sabtu lalu, buat julung kali penyanyi terkenal Indonesia itu mengadakan persembahan Muzika Nusantara bertemakan Senadi Dalam Seni di panggung berprestij yang menjadi impiannya.

Krisdayanti, 40, yang ditemui selepas persembahan itu berkata, dia sangat teruja kerana impiannya untuk menghiburkan penonton di pentas hebat seperti IB akhirnya menjadi kenyataan.

“Sebelum ini, kedatangan saya ke IB hanya menyaksikan persembahan yang dilakukan rakan-rakan. Ia umpama sokongan moral kepada mereka.

“Apapun, melihatkan peluang yang diperoleh itu tersemat juga dalam hati saya untuk suatu hari nanti diberikan peluang beraksi di IB.

“Justeru, apabila saya menerima tawaran untuk terbabit dalam persembahan Muzika Nusantara ini, tentunya ia tidak memerlukan masa lama bagi membuat keputusan,” katanya.

Menurut penyanyi yang pernah popular dengan lagu seperti Menghitung Hari dan Aku Wanita Biasa ini lagi, pertama kali beraksi di pentas IB itu cukup membuatkan dia puas dan bangga.

Kata ibu kepada empat orang cahaya mata ini lagi, meskipun industri hiburan di Indonesia lebih meluas berbanding Malaysia tetapi hingga kini masih tiada panggung segah IB yang dibina.

Menurut Krisdayanti, kalau diikutkan sudah tiba masanya Indonesia memiliki pentas persembahan sehebat IB untuk golongan artis tersohor di negara itu meraih peluang menghiburkan peminat.

“Apapun, saya mengharapkan supaya suatu hari nanti penggiat seni di Indonesia juga memperoleh peluang untuk mengadakan persembahan mereka di pentas berprestij sebegini.

“Saya yakin apabila tiba masanya, kami di Indonesia juga akan memiliki pentas persembahan yang cukup hebat ini,” katanya.

Krisdayanti yang mendendangkan lagu Es Lilin pada malam itu tampil menawan menggayakan kebaya perkahwinannya kerana mengikut tema. Katanya, sebagai selebriti dia perlu arif dalam pemilihan pakaian sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:03 AM