PELUKAN kasih Rizky buat Rossa.
PELUKAN kasih Rizky buat Rossa.
BERSAMA Joe Flizzow.
BERSAMA Joe Flizzow.
PADUAN vokal dengan Cakra untuk lagu Salahkah.
PADUAN vokal dengan Cakra untuk lagu Salahkah.
JENAKA Abam dan Rossa ceria suasana.
JENAKA Abam dan Rossa ceria suasana.
Oleh Norhayati Nordin


Kalau sudah namanya penghibur profesional, meskipun hanya tempoh satu bulan dimiliki untuk membuat persediaan pasti ia dilakukan dengan kesungguhan.

Itulah yang dibuktikan penghibur terkenal Indonesia, Datuk Rossa dalam konsert solo pertamanya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, Jumaat lalu dan kelmarin.

Konsert selama dua jam dengan tema Malam Keajaiban Cinta Rossa itu cukup bertenaga dan nyata berjaya menghiburkan penonton.

Memuatkan kira-kira 26 rangkuman lagu popular Rossa, konsert yang penuh dengan elemen kejutan itu diakui sudah mencapai tahap piawaian persembahan penghibur terkenal.

Ditemui media selepas konsert itu, Rossa berkata, meskipun beliau belum benar-benar puas dengan persembahan itu tetapi sekurang-kurangnya sudah melakukan yang terbaik.

“Saya hanya mahu penonton terhibur menyaksikan konsert ini. Jadi, saya perlu melakukan sedaya yang termampu.

“Tak dinafikan, pada awalnya saya terganggu memikirkan apakah persembahan konsert di IB ini akan menjadi formal. Namun, ia sekadar sangkaan saya saja.

“Sebaik berada di atas pentas dan melihat penonton sudah bersedia menyaksikan konsert saya membuatkan hati yakin bahawa inilah masanya,” katanya.

Diva Pop terkenal itu turut mengakui bagi memastikan penonton terhibur dengan konsertnya, beliau yang harus merasai keseronokan hiburan dipersembahkan lebih dulu.

Kata pemilik nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani ini lagi, disebabkan itu beliau perlu melepaskan jiwanya sepenuh hati dalam persembahan di hadapan penonton.

“Apabila saya sendiri merasai keseronokan itu, maka secara tidak langsung penonton juga akan merasai hiburan yang diinginkan.

“Ditambah pula, konsert ini amat penting buat saya untuk melengkapkan impian lima tahun lalu untuk beraksi di tempat berprestij di Malaysia ini.

“Kalau sebelum ini, saya mung­kin hanya mampu bermimpi dan berangan-angan tetapi kini Malam Keajaiban Cinta Rossa diimpikan itu sudah menjadi kenyataan,” katanya.

Diiringi barisan pemuzik dan penyanyi latar yang diterbangkan khas dari Indonesia, Rossa juga turut menyahut cabaran menyanyi bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

Turut menjunjung adat tradisi budaya serumpun dalam persembahan konsertnya, Rossa menghiburkan penonton dengan lagu seperti Wonderful Indonesia, Di Mana Ku Cari Ganti, Tanya Sama Hati, Awal Lah Dondang dan Es Lilin.

Tidak ketinggalan Rossa juga muncul menghiburkan penonton bersama penyanyi undangannya iaitu Joe Flizzow dan Cakra Khan dengan lagu Apa Khabar, Katakan, One Night Lover serta Salahkah.

Antara lagu popular Rossa dipersembahkan dalam konsert itu seperti Tegar, Pudar, Ku Menunggu, Hijrah Cinta, Aku Bukan Untukmu, Terlalu Cinta, Atas Nama Cinta, Ayat-Ayat Cinta, Sakura dan Hey Ladies.

Terharu dengan ucapan Hari Ibu daripada Rizky

Meskipun dirinya dengan persembahan konsert sudah sebati, namun Rossa tidak pernah membawa anak lelaki tunggal kesayangannya, Rizky Langit Ramadan, 9, naik ke pentas.

Namun, IB menjadi pentas pertama Rizky muncul dan meluahkan ucapan Selamat Hari Ibu istimewa buat Rossa membuatkan dia sangat terharu.

“Ucapan Rizky itu adalah hasil karangan dia sendiri yang lahir dari hatinya buat saya. Saya tidak sangka dia mampu menulis ucapan sebaik itu.

“Seiring dengan sambutan Hari Ibu kepada semua wanita seperti saya, apa yang dipersembahkan adalah satu penghargaan tidak terhingga.

“Meskipun berasa puas hati itu tiada dalam kamus hidup saya, tetapi apa yang pasti saya sudah berusaha melakukan sesempurna yang termampu,” katanya.

Menyifatkan konsert Malam Keajaiban Cinta Rossa sebagai persembahan yang tidak dirancang, anak jati Sunda kelahiran Bandung, Indonesia itu mengakui semuanya rezeki.

“Saya mendapatkan peluang untuk konsert ini kira-kira dua bulan lalu. Ketika itu, jadual saya terlalu padat dan sibuk.

“Namun, entah kenapa hati saya tidak mampu menolak peluang ini dan terus bersetuju untuk menjadikannya kenyataan tanpa berfikir panjang,” katanya.

Menurut Rossa, peluang tidak mungkin datang selalu. Jadi beliau sekadar menyahut cabaran untuk dirinya melakukan yang terbaik dalam tempoh persediaan yang singkat.

Sehubungan itu, persembahan dua malam memukau Rossa itu disaksikan penonton yang ‘full house’ dengan tiket berharga di antara RM78 hingga RM518.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 10:32 AM