HEE Chun (dua dari kiri) sertai BAM.
HEE Chun (dua dari kiri) sertai BAM.

Kuala Lumpur: Banyak belajar dan semakin matang - menjadi sandaran pemain beregu negara, Mak Hee Chun apabila kembali bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selepas meninggalkan BAM pada 2012, bekas juara remaja dunia 2008 bersama Teo Kok Siang ketika itu, kembali ke pangkuan badan induk itu untuk memperkuat pasukan beregu lelaki negara.

Ia bagaikan patah tumbuh hilang berganti buat BAM apabila mereka kehilangan tiga pemain beregu lelaki, Tan Boon Heong, Hoon Thien How dan Lim Khim Wah yang mengambil keputusan meninggalkan badan induk berkenaan.

“Sebab utama saya kembali adalah untuk cuba sekurang-kurangnya mewakili negara pada Piala Thomas dan Sukan Olimpik 2016 Rio,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Jelasnya, sebelum ini dia meninggalkan BAM untuk mencari cabaran baru, tetapi mengakui sukar menjadi pemain bebas termasuk mendapatkan penajaan.

“BAM memanggil saya dan saya fikir mengapa tidak untuk menggunakan peluang ini sekali lagi, mungkin kali ini mampu membuahkan hasil.

“Selepas meninggalkan BAM, saya banyak belajar, semuanya perlu dilakukan sendiri,” katanya yang kali terakhir mewakili skuad kebangsaan ketika beraksi di Sukan SEA 2011 Jakarta.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata, ini peluang terbaik untuknya kembali bersama BAM selepas banyak belajar ketika menjadi pemain bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:24 AM