THIEN How (kiri) dan  Khim Wah (dua dari  kanan) menyertai latihan bersama pemain badminton BAM  semalam.
THIEN How (kiri) dan Khim Wah (dua dari kanan) menyertai latihan bersama pemain badminton BAM semalam.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Meskipun sudah menghantar surat perletakan jawatan, khidmat dua pemain beregu negara, Hoon Thien How dan Lim Khim Wah mungkin masih diperlukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Dengan kata lain, badan induk itu dijangka tidak melepaskan kedua-dua pemain itu selepas BAM menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat punca Thien How serta Khim Wah mahu meninggalkan BAM.

Difahamkan, kedua-dua pemain itu akan dipanggil minggu depan oleh jawatankuasa tiga anggota panel itu.

“Kedudukan mereka akan diputuskan jawatankuasa itu. Ketika ini, BAM tidak terima lagi peletakan jawatan mereka,” kata Pengurus Besar BAM Kenny Goh.

Kenny juga mengesahkan pemain perseorangan wanita negara, Yan Li Lian yang turut mengambil keputusan meninggalkan BAM, akan dipanggil menghadap jawatankuasa berkenaan.

Persoalan timbul apabila Thien How serta Khim Wah dilihat menjalani latihan bersama barisan pemain naungan BAM lain di Stadium Juara Bukit Kiara semalam.

Bagaimanapun ketua jurulatih beregu negara Jeremy Gan enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan meminta persoalan itu diajukan kepada pihak pengurusan BAM.

Ketiadaan Thien How serta Khim Wah menyaksikan beregu elit negara hanya dibarisi Tan Boon Heong, Tan Wee Kiong, Goh V Shem serta Ow Yao Han.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, Thien How serta Khim Wah sudah menghantar surat perletakan jawatan mereka kepada BAM dengan alasan tidak mempunyai masa depan cerah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:19 AM