NOR Mohd Hafiz Mansor.
NOR Mohd Hafiz Mansor.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Sering mendengar rungutan adik-beradik perempuannya yang mengalami masalah rambut dan kegatalan kulit kepala selepas seharian bertudung, membuka satu episod baru dalam kehidupan Nor Mohd Hafiz Mansor, 30 tahun.

Satu-satunya anak lelaki daripada empat beradik perempuan membuatkan usahawan muda ini lebih memahami masalah rambut yang biasa dihadapi wanita bertudung.

Kasihan melihat keadaan itu, dia mencari formula yang dapat menyelesaikan permasalahan terbabit. Malah, dia juga sanggup bertanya kalangan mereka yang berpengalaman dalam perubatan tradisional demi mendapatkan tip dan mencari bahan selamat yang mampu menjaga kesihatan kulit kepala dan rambut untuk dikongsi bersama adik-beradiknya.

Hafiz berkata, maklumat yang diperolehnya kemudian diubah suai dan digunakan untuk menghasilkan formula serum untuk membantu menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan rambut dan kulit kepala.

Kata anak jati Perlis ini, ia kemudian diberikan kepada adik-beradiknya untuk dicuba. Tanpa disangka, ia berjaya menyelesaikan masalah rambut mereka malah, membuatkan rambut masing-masing masih berbau harum biarpun bertudung dalam jangka panjang.

“Semuanya bermula apabila saya selalu saja nampak rambut adik-beradik perempuan penuh di lantai rumah. Bayangkan setiap kali masuk ke bilik air, saya melihat gumpalan rambut yang gugur.

“Saya seorang yang suka berfikir dan gemar memerhati. Apatah lagi saya lihat semakin ramai yang bertudung dan tentu mereka juga mengalami masalah yang sama seperti adik-beradik saya,” katanya yang turut memaparkan produknya di Instagram/coolhijabofficial dan www.coolhijab.com.

Bermula dari situ, timbul idea untuk menghasilkan formulasi semula jadi berasaskan herba yang dapat menyihatkan kulit kepala dan menyelesaikan pelbagai masalah rambut seperti keguguran, kelemumur, menghilangkan bau hapak, mengelak kegatalan kulit kepala dan melebatkan rambut.

Malah, pemegang Diploma Elektronik Perubatan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu berkata, haruman segar yang ada pada serum itu dapat menenang, menyejuk dan melegakan sakit kepala.

Lebih menarik, produk yang diberikan nama CoolHijab itu menyerap dengan pantas, tidak berminyak atau melekit, tanpa merosakkan fabrik tudung.

“Sejak berada di pasaran bermula April 2014, ia mendapat sambutan sungguh menggalakkan bukan saja dalam negara, tetapi juga Singapura, Indonesia, Brunei, China dan Arab Saudi.

“Botolnya juga sengaja direka dalam saiz 30ml bagi memudahkan wanita membawanya di dalam beg tangan mereka.

“Produk ini juga mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Penguasa Kesihatan dan Sains Singapura.

“CoolHijab bukan hanya untuk wanita bertudung, tetapi sesiapa saja boleh memakainya termasuk mereka yang tidak bertudung, lelaki dan kanak-kanak, malah ia boleh menyelesaikan masalah kutu rambut,” katanya.

Antara bahan yang digunakan dalam serum itu ialah minyak zaitun, jojoba, aloe vera, pudina, kayu putih, buah keras serta minyak aromaterapi.

Memperkatakan mengenai perniagaannya itu, Hafiz berkata, modal permulaan dikumpulnya sendiri secara sedikit demi sedikit daripada pendapatan pelbagai pekerjaan yang dilakukannya sebelum itu.

“Pada usia 23 tahun, saya sudah mula berniaga dengan menjual telefon bimbit, talian prabayar, membuat laman web, menjual baju terpakai dan pernah juga menjadi kartunis. Dari situ, saya berjaya mengumpul modal untuk mengasaskan serum rambut CoolHijab,” katanya.

Ketika pertama kali meluahkan hasrat menghasilkan produk itu, dia akui, keluarganya seolah-olah kurang yakin, tetapi dia memberanikan diri untuk membuktikan perniagaan itu boleh berjaya.

Dia gembira kerana kini keluarga juga bersemangat membantunya menjual produk berkenaan kerana yakin terhadap keberkesanannya.

Dijual pada harga RM70 sebotol, produk itu kini diedar 80 ejen di negara ini serta seorang ejen di Singapura.

“Kini saya memberi fokus untuk mengembangkan perniagaan ini dan memasarkannya ke seluruh dunia di samping mempelbagaikan produk CoolHijab khusus kepada penjagaan diri wanita dalam tempoh tujuh tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 12:16 PM