BERSANTAI di tepi pantai punya keseronokan tersendiri.
BERSANTAI di tepi pantai punya keseronokan tersendiri.
Oleh Suliati Asri


Cuti sekolah selama seminggu akan bermula Sabtu ini. Justeru, ibu bapa pasti menanti waktu ini untuk bersama anak-anak.

Namun, bajet yang agak terhad disebabkan waktu pembayaran gaji diawalkan bersempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, sesi bercuti mungkin dibatalkan atau ditunda.

Bergembira bersama keluarga bukan hanya perlu membelanjakan wang yang banyak kerana masih banyak perkara boleh dilakukan untuk mengabadikan percutian itu tanpa berbelanja banyak.

Jom semak tip melancong minggu ini untuk idea percutian tanpa berbelanja banyak.

Berkelah tepi pantai atau air terjun

Bermalam di hotel, resort atau chalet bukan pilihan bijak apabila anda mahu mengehadkan perbelanjaan percutian.

Berkelah di tepi pantai atau berkhemah di hutan lipur berhampiran air terjun mungkin idea paling tepat.

Anda boleh menyewa kanopi serta kerusi dan meja untuk kemudahan anda sekeluarga saat bersantai di tepi pantai dengan harga cukup murah.

Paling jimat ialah membawa khemah sendiri ketika bersantai di tepi pantai atau hutan lipur.

Ingin lebih keseronokan dan menjimatkan, sesi barbeku adalah yang terbaik dan meninggalkan kenangan tersendiri.

Berkeluarga di Homestay

Jika ingin percutian menyenangkan serta jauh dari kesibukan kota serta tidak memerlukan belanja yang besar, apa kata anda mencuba percutian ‘inap desa’ atau Homestay.

Namun, percutian homestay ini bukan hanya menyewa rumah kosong, tetapi tinggal bersama pemilik rumah.

Dengan hanya membayar jumlah wang mengikut pakej, anda berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti menarik.

Selain bercuti dan melakukan pelbagai aktiviti kampung menarik, anda juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan bersama ahli keluarga angkat.

Lepak di rumah

Lepak mungkin bukan percutian tetapi lepak di rumah memberikan percutian cukup menyenangkan buat anda sekeluarga.

Dengan berehat di rumah, ia percutian paling menjimatkan.

Ia juga bukan saja menjimatkan tetapi tidak perlu ada undang-undang yang perlu anda ikuti. Maksudnya, anda bebas melakukan apa saja.

Namun, untuk memberikan lebih keseronokan berbanding hari-hari biasa di rumah, lakukan pelbagai aktiviti menarik, antaranya menonton televisyen sambil barbeku di luar rumah.

Pilih tarikh bukan musim cuti

Percutian yang menjimatkan memerlukan perancangan teratur. Dengan melakukan tempahan awal dan tarikh yang bukan musim ramai bercuti, ada boleh mendapatkan lokasi percutian dengan belanja lebih murah.

Syarikat penerbangan juga sentiasa menawarkan harga murah jika menempah awal dan mendapat harga lebih murah jika anda adalah ahli yang berdaftar.

Jadi, jika anda bijak merancang, anda dapat bercuti di mana saja tanpa perlu perbelanjaan banyak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 12:19 PM