Asia 2015 Day #4 - Awards Ceremony
Asia 2015 Day #4 - Awards Ceremony
PASUKAN UiTM Eco-Planet. FOTO ihsan Shell
PASUKAN UiTM Eco-Planet. FOTO ihsan Shell
KENDERAAN UiTM Eco-Sprint. FOTO AP
KENDERAAN UiTM Eco-Sprint. FOTO AP
AHLI pasukan Eco-Sprint. FOTO ihsan Shell
AHLI pasukan Eco-Sprint. FOTO ihsan Shell

Kuala Lumpur: Kemeriahan malam upacara anugerah cabaran Shell Eco-Marathon Asia 2015 di Manila berhenti seketika apabila peserta bertafakur bagi memperingati mangsa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dan MH17.

Permintaan khas itu dibuat oleh pasukan Eco-Sprint daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang juga berpakaian seperti juruterbang selepas menerima anugerah selaku pemenang kategori Prototype Hydrogen Fuel Cell, pada majlis itu, kelmarin.

Malah, kenderaan yang diguna bagi cabaran itu turut dibina bagi memperingati keluarga, kawan dan mangsa kedua-dua tragedi itu.

Menurut laman Web UiTM, penasihat teknikal Eco-Sprint, Zulqarnain Mat Zaki berkata, kepulangan mereka pada hari sama pesawat MH370 dilaporkan hilang selepas memenangi pertandingan sama tahun lalu menjadi inspirasi bagi rekaan kenderaan tahun ini.

“Kami mengambil keputusan untuk tidak hanya kembali ke pertandingan hari ini dengan kenderaan yang lebih baik tetapi juga mencari jalan memperingati mangsa nahas tersebut untuk pertandingan tahun ini,” kata Zulqarnain.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik itu juga adalah pengurus kumpulan tahun lalu.

Satu lagi pasukan universiti itu, UiTM Eco-Planet juga meraih kemenangan apabila menjuarai kategori Urban Concept Hydrogen Fuel Cell.

Sementara itu, pasukan Eco-Voyager dari Universiti Malaya mendapat tempat kedua kategori Prototype Hydrogen Fuel Cell.

Sebanyak 120 penuntut dari 17 negara mengambil bahagian dalam pertandingan ini yang mencabarkan peserta untuk mencari bahan api baru buat penggunaan masa depan.

Pesawat MH370 dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac tahun lalu.

Ia dipercayai terjatuh di Lautan Hindi dan operasi pencarian masih dijalankan di kawasan meliputi 60,000 kilometer persegi.

Sementara itu, penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam pada 17 Julai tahun lalu dan kesemua 298 penumpang dan anak kapal terkorban dalam nahas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 12:18 PM