Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Malaysia Airline System Berhad (MAS) berharap supaya pencarian pesawat MH370 disambung semula oleh pasukan penyiasat sekiranya mempunyai petunjuk yang boleh dipercayai.

Menerusi kenyataan dikeluarkan oleh MAS, pihaknya turut berpandukan kepada sebarang keputusan dibuat oleh tiga kerajaan yang terbabit dalam penyiasatan serta pencarian pesawat itu.

“Selain itu, kami juga sekali lagi menyatakan komitmen dalam memberikan maklumat perkembangan terbaharu berkaitan tragedi pesawat MH370 kepada waris keluarga yang terbabit.

“Justeru, ingatan dan doa kami sentiasa bersama mereka yang terbabit dalam tragedi ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, MAS memaklumkan, pihaknya bersama Malaysia Airlines Berhad (MAB) menganjurkan majlis tertutup memperingati tragedi MH370 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

“Majlis berkenaan dihadiri kakitangan syarikat penerbangan ini selain waris keluarga anak kapal pesawat MH370,” katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan Pengerusi MAB Tan Sri Md Nor Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif MAB Peter Bellew serta kakitangan syarikat penerbangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 6:00 PM