PAKEJ menarik percutian atas kapal persiaran janjikan pengalaman indah.
PAKEJ menarik percutian atas kapal persiaran janjikan pengalaman indah.
Susunan Suliati Asri


Perancangan percutian keluarga yang kurang sempurna mempengaruhi kedamaian saat bercuti.

Dalam merancang, banyak faktor harus difikirkan bermula dari tujuan bercuti, pengangkutan, penginapan, kesesuaian dan ketenangan untuk ahli keluarga dan bajet yang sesuai.

Inginkan percutian yang berlainan dan keseronokan tersendiri berbanding percutian sebelumnya, berlayar di laut yang luas terbentang dengan kapal pelayaran pasti meninggalkan pengalaman.

Dengan harga yang relatif, berlayar adalah kaedah percutian yang mudah, selamat dan menyenangkan.

Pakej menarik yang ditawarkan menerusi percutian menaiki kapal persiaran ini bagaikan memberikan peluang anda yang mencari kelainan dalam percutian keluarga.

Bukan sekadar pengangkutan, berlayar juga pilihan bercuti yang memberi pengalaman menyeluruh mencakupi perjalanan, destinasi, penginapan, hiburan, makanan dan pelbagai kemudahan lain.

Mahu mencuba percutian menyeronokkan ini, jom semak beberapa tip yang disediakan.

Pilih trip dan perjalanan

Kapal persiaran ada pelbagai kategori dan jadual selain destinasi yang akan dikunjungi. Justeru, dapatĀ­kan jadual perjalanan dan pakej yang ditawarkan serta membuat perbandingan.

Pilih yang bersesuaian dengan anda dan keluarga supaya dapat menikmati keseronokan sepanjang bercuti.

Pilih jenis bilik yang bersesuaian

Bilik penginapan mempunyai pilihan mengikut kelas, ada suite, bilik serta balkoni, seorang dan berdua.

Jadi, untuk keselesaan sepanjang pelayaran itu, pilih yang memberikan keselesaan dan sesuai dengan bajet percutian anda.

Aktif bersama

Di atas kapal persiaran, anda sekeluarga dapat melakukan aktiviti bersama. Bersantai di tepi kolam, berenang atau bermain air di kolam renang dengan berlatarbelakangkan pemandangan laut pasti menyeronokkan.

Ditambah dengan pelbagai permainan lain yang dibawa sendiri atau di sediakan di atas kapal pasti melengkapkan percutian anda sekeluarga.

Selain itu membeli-belah di kedai bebas cukai di atas kapal, bermain golf di padang mini atau bermain bola keranjang di gelanggang yang disediakan sesuatu yang mengujakan dan menghilangkan bosan.

Belajar sambil bermain

Saat berlayar, anak-anak atau anda boleh belajar sambil bermain dengan pelbagai aktviti yang disusun atau sepanjang berlayar, antaranya melihat bentuk-bentuk bintang di waktu malam dan cara pengendalian kapal di lautan luas.

Kelas khusus disediakan di semua kapal layar untuk kanak-kanak tidak kurang hebatnya dan memberikan banyak manfaat.

Selain itu, anda dan keluarga benar-benar di manja dengan pilihan hiburan yang tersedia di atas kapal persiaran. Pelbagai pertunjukan menarik juga tersedia, antaranya pertunjukan silap mata, tayangan filem dan banyak lagi acara yang sudah disusun pengurusan kapal persiaran.

Romantis berdua

Sementara anak-anak sibuk dengan aktiviti masing-masing, anda bersama pasangan jangan melepaskan peluang menikmati waktu berdua.

Duduk bersantai sambil melihat matahari terbenam pasti memberikan kenangan terindah.

Melakukan pelbagai aktiviti bersama juga mengeratkan hubungan bersama pasangan.

Keliling Asia Tenggara

Negara-negara jiran di Asia Tenggara dapat menjadi pilihan menarik untuk berlibur. Berlayar membawa anda ke pelbagai destinasi sesuai dengan keperluan anda sekeluarga bermula percutian pendek hingga jangĀ­ka panjang.

Dengan pilihan program percutian darat yang disediakan di kapal pelayaran, anda dapat turun berkunjung ke beberapa tempat yang disinggahi tanpa perlu membawa pelbagai barang terutama beg baju yang besar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 12:19 PM