Ryan Gosling meluangkan masa bergembira bersama teman baiknya, Guillermo Del Toro di Disneyland hujung minggu lalu. Menggunakan pas VIP, mereka dapat menikmati layanan kelas pertama.

Bekas ahli Mickey Mouse Club itu tidak pernah merasakan dirinya terlalu tua untuk menikmati permainan yang disediakan di Disneyland.

Gosling pernah mengadakan majlis sambutan kelahiran anak pertamanya dengan Eva Mendes di Club 33 dalam Disneyland.

Selain menikmati suasana Disneyland dengan menaiki kereta mini disediakan, Gosling sempat singgah di kedai cenderahati dan membeli beberapa kemeja T serta magnet peti ais.

"Gosling kelihatan gembira menaiki kereta mini untuk sampai ke beberapa kawasan permainan seperti Pirates Of The Caribbean, Haunted Mansion, Space Mountain, Thunder Mountain Railroad, Disneyland Train, Jungle Cruise, Indiana Jones, Radiator Springs dan Tower Of Terror.

"Dia juga membeli pakaian untuk anaknya dan kole untuk Eva. Itu perkara paling manis pernah saya lihat," kata sumber.

Gosling yang tidak hadir di majlis Anugerah Academy baru-baru ini, ternyata lebih suka merehatkan minda bersama teman baiknya daripada hadir dalam majlis yang memerlukan seseorang mengikut protokol.

Pada 2010, Gosling pernah mengeluarkan kenyataan rasa gembira kerana Walt Disney merealisasikan taman tema seperti Disneyland.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:02 AM